Gelombang baharu dijangka meletus, PRN tak wajar diadakan


BEKAS Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad sekali lagi menegaskan bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sepatutnya tidak diadakan.

Memetik laporan media, Ahli Parlimen Kuala Selangor itu menegaskan bahawa kerajaan sepatutnya mencari cara terbaik untuk menyelesaikan isu dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka jika ia benar-benar prihatin terhadap rakyat.

Dzulkefly bimbang PRN yang bakal diadakan bulan depan hanya akan menyebabkan berlaku gelombang baharu jangkitan Covid-19 terutama di negeri itu.

Kebimbangan dinyatakan Dzulkefy berasas, dengan seorang ketua sebuah badan pemikir kesihatan menjangkakan lonjakan akan berlaku susulan PRN itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial Azrul Mohd Khalib berkata, kemungkinan besar akan ada kes “breakthrough”.

Lebih malang beliau menjangkakan ia akan melibatkan majoriti individu yang telah menerima vaksin.

“Ini pasti akan berlaku. Apa yang dibimbangi adalah bilangan orang yang perlu dimasukkan ke hospital kerana sakit teruk dan meninggal dunia akibatnya,” katanya dipetik laporan FMT.

Tambah Azrul walaupun kerajaan telah mengeluarkan larangan terhadap perhimpunan politik dan sosial bagi tujuan kempen pilihan raya, beliau bimbang perhimpunan pilihan raya akan tetap diteruskan.

"Prosedur operasi standard (SOP) akan “dipatuhi secara terpilih atau diabaikan sama sekali” kerana ahli politik mahu dilihat berjabat tangan, menyambut mesra dan bercakap dengan penyokong tanpa memakai pelitup muka.
 
“Kita perlu akui hakikat bahawa Malaysia tidak mampu menganjurkan pilihan raya berskala besar yang menyaksikan pengundi menyertai aktiviti berkempen dengan selamat dan membuang undi pada masa wabak penyakit berjangkit,” katanya menurut laporan itu.

Mengulas lanjut Azrul menegaskan walaupun SOP ketat telah ditetapkan, timbul persoalan apakah orang ramai dan ahli politik akan dengar, faham dan berkelakuan dengan cara yang selamat seperti menjaga jarak, memakai pelitup muka, membersihkan tangan dan mengelak ruang tertutup dan sesak.
 
“Pengalaman mengajar kita sebanyak mana pun pengawasan dan penguatkuasaan tidak akan berguna melainkan orang ramai proaktif dan menyokong langkah-langkah ini,” kata Azrul lagi.

Sejauh mana SOP akan dipatuhi?


Dalam pada itu, Dzulkefly pula mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merangka SOP berdasarkan contoh protokol di Singapura dan Jerman, ia susulan keputusan bahawa PRN Melaka akan diteruskan.
 
“Singapura membuka ruang kepada pembangkang untuk mendapatkan masa siaran yang adil di saluran media utamanya.” jelasnya.


Post a Comment

0 Comments