JENAZAH penyanyi terkenal, Siti Sarah Raissuddin, 36, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Pusu, Gombak selepas Zohor hari ini.
Terdahulu, jenazah Siti Sarah dikafan dan dimandikan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) sebelum dibawa ke tanah perkuburan dengan van jenazah.
Warganet pagi tadi dikejutkan dengan berita kematian penyanyi 'Sandarkan Pada Kenangan itu' yang sebelumnya dikongsikan suaminya Shahmira Muhammad atau Shuib Sepahtu di laman sosial.
“Pada 5.13 minit pagi, bidadari syurga saya pergi buat selamanya. Mohon sedekahkan al-Fatihah,” kata Shuib di laman Instagram yang kemudian dikongsi warganet.
Terdahulu pada 27 Julai lalu, Siti Sarah mengesahkan dia dan keluarganya positif Covid-19 selepas seorang pembantunya terkena jangkitan Covid-19.
Allahyarhamyang mengandung bayi berusia tujuh bulan ketika itu menyatakan rasa bimbangnya tentang keadaan kandungannya.
Siti Sarah kemudian dimasukkan ke hospital setelah keadaan kesihatanya menurut. Pada 6 Ogos lalu Allahyarham ditidurkan.
Doktor juga terpaksa melakukan pembedahan ke atas Siti Sarah bagi menyelamatkan kandungannya. Anak pasangan terbabit, Ayash Affan, selamat dilahirkan tidak lama kemudian.
Sementara itu difahamkan, proses pengkebumian Siti Sarah dikendalikan Pasukan Pengurusan jenazah Covid-19 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)
Hadir sama adalah shuib yang lengkap menyarungkan peralatan perlindungan diri (PPE).
Shuib sementara itu menzahirkan rasa redha dan berlapang dada menerima ketentuan bahawa sudah sampai masanya isteri tercinta, Siti Sarah kembali ke pangkuan Allah.
Beliau turut merakamkan terima kasih kepada semua kenalan serta seluruh anggota masyarakat yang tidak putus-putus mendoakan arwah isterinya yang bertarung nyawa sejak beberapa hari lalu.
"Saya nak ucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang bersusah payah untuk isteri saya sepanjang berlaku kejadian ini. Saya ucapkan terima kasih atas usaha solat hajat atas arwah isteri saya.
![]() |
Pemergian Siti Sarah ditangisi ramai |
Sebagai rekod, Siti Sarah berkahwin dengan Shuib pada 27 Februari 2011. Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6 tahun serta Ayash Affan yang dilahirkan Jumaat lalu.
0 Comments