KEDUDUKAN Ahli Parlimen Pagoh, Mahiaddin md Yasin sebagai Perdana Menteri kini semakin boleh dipertikai.
Ia selepas blok pembangkang mengutuskan surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan pendirian kesemua Ahli Parlimen dari blok itu yang tidak menyokong Mahiaddin sebagai perdana menteri.
Dua sumber masing-masing dari parti Amanah dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang dipetik laporan Malaysiakini mengesahkan surat itu dihantar ke Istana hari ini.
"Kami hantar surat hari ini lebih kurang pukul 4 petang tadi.
"Kesemua 105 ahli parlimen daripada Pejuang, DAP, KEADILAN, Warisan, Parti Sarawak Bersatu, Muda, Amanah dan Maszlee Malik (Bebas) menghantar surat.
"Dengan keputusan pembangkang sebulat suara menolak Muhyiddin, jumlah Ahli Parlimen tidak sokong kini sudah mencecah kepada 118 orang," kata sumber itu kepada portal berkenaan.
Hari ini, Umno secara terbuka telah mendedahkan 13 surat Ahli Parlimen parti itu menarik sokongan terhadap Presiden parti Bersatu itu.
Mahiaddin sebelum ini menolak dakwaan bahawa dia telah hilang sokongan, dalam satu perutusan khas dia berkata bersedia berdepan usul percaya di Parlimen pada September nanti.
Walau bagaimanapun banyak pihak membidas kesediaan itu dan mempersoal mengapa usul itu tidak dibawa sekarang.
Dalam perkembangan berkaitan, beberapa Ahli Parlimen dari KEADILAN dan DAP mendakwa cuba 'dibeli' dengan tawaran ganjaran dan kedudukan dalam kabinet sekiranya berpaling tadah dan menyokong Mahiaddin.
Sementara itu seorang sumber yang dipetik Malaysiakini mendedahkan bahawa pembangkang menyerahkan surat bagi menyatakan pendirian menolak Mahiaddin itu secara en-blok.
"Ketua parti menghantar suratnya mewakili parti masing-masing.
"Jika kita lihat Umno serahkan surat pada 29 Julai. Jadi, jelas lapan ahli parlimen Umno telah tolak Muhyiddin pada 30 Julai. Kalau campur dengan pembangkang 105 sudah jadi 113 anggota pada ketika itu.
"Maka, kami percaya Muhyiddin telah menipu Seri Paduka Baginda bahawa dia masih mempunyai mandat di Dewan Rakyat," kata sumber itu.
![]() |
Mahiaddin dianggap hilang majoriti |
Sokongan Muhyiddin di Dewan Rakyat kini berkurang kepada 100 ahli sahaja, iaitu kurang 11 untuk mendapat majoriti mudah di Parlimen.
0 Comments