Umno sekali lagi digesa putus hubungan dengan PAS

 


TIMBALAN Pengerusi Umno Johor, Nur Jazlan Mohamed menggesa partinya menamatkan kerjasama dengan PAS menerusi Muafakat Nasional (MN).

Dipetik laporan FMT, Nur Jazlan berkata, Umno tidak lagi boleh mengharapkan PAS bersikap ikhlas dalam mendukung tanggungjawabnya sebagai rakan sekutu dalam MN teruatama dalam menghadapi Pilihan raya Umum (PRU) akan datang.

Beliau turut menyifatkan PAS kini cenderung terhadap kuasa, kedudukan dan wang.

“Umno telah lama menyimpan syak terhadap pemimpin PAS…akhir-akhir ini, mereka kelihatan lebih berminat untuk memperoleh kuasa dan kedudukan, malah dalam keadaan tertentu, wang (juga menjadi keutamaan).

“Dalam kes melibatkan (tanah) Lembaga Getah Malaysia (LGM), ternyata ada beberapa dakwaan yang cukup serius,” katanya dipetik laporan itu.

Bekas Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) itu sebelumnya merujuk kontroversi rancangan pajakan dan jualan tanah bernilai tinggi milik LGM yang berada di bawah bidang kuasa Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali, yang juga pengarah strategi PAS.

Dipetik laporan itu juga, beliau mendakwa Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, lebih memihak kepada PAS berbanding Umno, malah enggan mengambil tindakan terhadap menteri PAS yang cuai.

Sebagai rekod, PAS sebelum ini mendakwa komited untuk memperkukuhkan kerjasama dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional dan Umno menerusi MN.

Bagaimanapun, desakan di dalam Umno semakin lantang supaya parti itu memberi kata dua kepada PAS untuk memilih Umno atau Bersatu sebagai rakan sekutunya pada PRU15.

PAS dilihat tidak membuat ketetapan jelas, Presiden parti itu dipetik media sebelum ini berkata, memutuskan PAS tidak akan mengadakan rundingan pengagihan kerusi dengan Umno atas alasan parti itu perlu menyelesaikan masalah kepimpinan dalamannya.

Bagaimanapun, PAS bersetuju mengadakan rundingan pembahagian kerusi dengan Bersatu, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai kelangsungan MN.

PAS disifatkan sebagai parti gagal
Nur Jazlan sementara itu menuduh PAS sebagai parti yang gagal mempamerkan tadbir urus baik di beberapa negeri pimpinannya dari dahulu hingga sekarang.

“Kegagalan kerajaan negeri di bawah pimpinan Abdul Hadi Awang sebagai menteri besar Terengganu dari 1999 hingga 2004 adalah contoh urus tadbir lemah yang saya maksudkan.” tambahnya.

Post a Comment

0 Comments