K'jaan Negeri Sembilan sedia RM10 juta bantu rakyat terkesan Covid-19


KERAJAAN Negeri Sembilan yang dipimpin KEADILAN bakal memperuntukkan dana sebanyak RM10 juta bagi membantu rakyat di negeri itu terutama golongan yang terjejas susulan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh ketika ini.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun dipetik laporan Bernama berkata, peruntukan itu termasuk bagi agihan bantuan seperti bakul makanan dan perkara lain yang akan dimaklumkan dalam tempoh seminggu ini.

“Dalam mesyuarat bersama Exco tadi, kita (Kerajaan Negeri Sembilan) bersetuju menyediakan sejumlah peruntukan untuk membantu masyarakat bagi meringankan beban mereka berdepan situasi Covid-19 ketika ini.

“Kita akan pastikan bahawa bantuan ini akan sampai kepada semua yang benar-benar memerlukan di seluruh negeri ini,” katanya  semalam.

Aminuddin sebelumnya mengadakan sidang media secara maya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri.

Sementara itu dipetik laporan sama, ADUN Sikamat itu menambah bahawa Kerajaan Negeri Sembilan telah melaksanakan pemotongan elaun lebih awal iaitu sebanyak 10 peratus untuk disumbangkan kepada Akaun Amanah Bencana negeri selama enam bulan bermula Januari lepas.

“Sekiranya ada Ahli Dewan Undangan Negeri yang mahu buat pemotongan (selepas ini), kita amat menggalakkan dan akan memaklumkannya," katanya.

Bagi membantu rakyat negeri yang terkesan
Untuk rekod, ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2021) 2020 (Belanjawan 2021) Negeri Sembilan pada Disember lalu, Aminuddin memaklumkan kesemua barisan Exco Kerajaan Negeri Sembilan bersetuju untuk memotong sebanyak 10 peratus gaji bagi tempoh enam bulan untuk disalurkan ke dalam Akaun Amanah Bencana negeri itu bagi menghadapi pendemik Covid-19.



Post a Comment

0 Comments