Najib tak terlibat dalam perbincangan dengan HARAPAN, kata Anwar


PAKATAN HARAPAN
tidak berbincang dengan mana-mana parti untuk berkerjasama namun perbincangan diadakan bersama Ahli Parlimen tertentu yang berpegang teguh kepada agenda reformasi.

Perkara itu dinyatakan Pengerusi Gabungan itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa ditemuramah dengan saluran CNBC pada Jumaat

Bercakap dalam temuramah itu, Presiden KEADILAN itu juga menjelaskan bahawa perbincangan tidak terbatas kepada Ahli Parlimen satu parti semata-mata.

"Kita telah berinteraksi dengan Ahli Parlimen individu yang berpegang kepada agenda reformasi dan membanteras rasuah.

"Maksud saya, ia tidak hanya terbatas kepada UMNO, seperti orang-orang yang berada dalam gabungan sekarang dan dahulu yang selalu berkompromi. Inilah sesuatu yang membimbangkan," katanya.

Sebagai rekod, HARAPAN melalui ketetapan Port Dickson baru-baru ini menegaskan bahawa menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, mereka bakal mengambil pendekatan “Khemah Besar” untuk menyatupadukan rakyat Malaysia dari pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira pegangan politik.

Mereka menegaskan kesediaan untuk berunding dan bekerjasama dengan mana-mana pihak, berdasarkan Prinsip dan Agenda Reformasi demi kepentingan Rakyat, tanpa melibatkan kleptokrat.
 
Dalam pada itu Anwar menegaskan, tidak timbul isu kerjasama dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak walaupun jika diberi peluang.

Tegasnya, Najib juga bukan mengetuai mana-mana parti selain berhadapan perbicaraan mahkamah yang mengambil masa bertahun-tahun.

"Jangan lupa bahawa kami pernah bekerja dengan Dr Mahathir dengan syarat dia mengikuti agenda reformasi. Kita berjaya dalam beberapa aspek tertentu tetapi dia gagal kerana tidak mengotakan banyak janji.

 Bincang dengan pemimpin terima reformasi
"Ini bukan masalah kepemimpinan semata-mata, tetapi dari segi komitmen reformasi, sangat selektif dari segi prasyarat serta langkah-langkah. Sekarang dengan merujuk kepada Najib, persoalannya tidak relevan, tidak ada asasnya.

"Dia tidak memimpin parti, dia tidak terlibat dalam perbincangan dengan kami, hanya persepsi. Dia diadili dan saya rasa akan mengambil masa bertahun-tahun. Saya rasa tidak perlu untuk melibatkannya dalam siri rundingan yang berlangsung," katanya dipetik.
 

Post a Comment

0 Comments