MAJLIS Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN) mempersoalkan mengapa Muhyiddin Yassin tidak memaklumkan mengenai wujudnya rancangan menyerang pemimpin negara pada 2020.
Melalui satu kenyataan, majlis itu berkata pendedahan seorang pegawai kanan Bukit Aman mengenai rancangan serangan ganas ke atas beberapa pemimpin utama kerajaan tahun lalu berlaku ketika Muhyiddin berkhidmat sebagai menteri dalam negeri.
"Kami kesal atas sikap Muhyiddin yang merupakan menteri dalam negeri pada waktu itu yang gagal memaklumkan perkara berkenaan kepada pimpinan HARAPAN serta rakyat Malaysia amnya.
"Kegagalan tersebut menimbulkan persoalan motif sebenar perkara ini disembunyikan daripada pengetahuan pemimpin berkenaan dan kerajaan HARAPAN," kata kenyataan ditandatangani Pengerusi HARAPAN merangkap Presiden PKR, Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng itu.
Semalam, seorang pegawai kanan Bukit Aman mendedahkan Cawangan Khas Counter Terorisme (E8) menahan seorang lelaki yang mengaku merancang untuk melakukan serangan ke atas Dr Mahathir, Lim Guan Eng (menteri kewangan) Mujahid Yusof (menteri di Jabatan Perdana Menteri) serta Tommy Thomas yang menjadi peguam negara.
Penolong Pengarah E8, Azman Omar, lelaki terbabit ditangkap pada Jan 2020 sekaligus menumpaskan rancangan ganas itu.
"Pada 6 hingga 7 Jan 2020, kami menangkap seorang lelaki tempatan... bersama lima yang lain ekoran pembabitan mereka menghasilkan video propaganda IS dan ancaman bunuh ke atas pemimpin negara.
"Semasa siasatan, (lelaki terbabit) mengaku dia berniat untuk melancarkan serangan bersendirian ke atas beberapa pemimpin kerajaan dengan menikam mereka menggunakan pisau atau objek tajam sebagai tanda menyokong IS," katanya.
Untuk rekod Polis Diraja Malaysia berada di bawah tanggungjawab Kementerian Dalam Negeri.
Sementara itu, Majlis Presiden HARAPAN mengucapkan terima kasih kepada pasukan keselamatan kerana bertindak pantas dan tegas menggagalkan cubaan tersebut.
![]() |
Sikap Muhyiddin timbulkan tanda tanya |
"Oleh itu, kami menggesa Muhyiddin untuk memberikan penjelasan di atas perkara ini pada kadar segera," katanya.