PERMOHONAN Najib Razak untuk menyingkirkan bekas hakim mahkamah persekutuan Gopal Sri Ram daripada bertindak sebagai timbalan pendakwa raya untuk kes-kes berkaitan 1MDB ditolak.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan menolak permohonan bekas Presiden Umno itu semalam dengan alasan bahawa tiada asas untuk permohonan Najib menyingkirkan Sri Ram.
Permohonan itu dibuat berdasarkan afidavit Mohamed Apandi yang mendakwa Sri Ram cuba memujuknya memainkan peranan supaya Najib ditangkap.
“Seperti yang dihujahkan responden (pasukan pendakwaan) peristiwa (kejadian yang didakwa menunjukkan berat sebelah menerusi pertemuan bersama peguam negara pada awal 2018, Mohamed Apandi Ali) berlaku sebelum Sri Ram dilantik sebagai timbalan pendakwa raya.
“(Najib) tidak membuat permohonan lebih awal untuk mengadu kelakuan Sri Ram dalam perbicaraan (laporan audit 1MDB).
“Ini memberi kepercayaan kepada responden bahawa Sri Ram berkelakuan sebagai timbalan pendakwa raya.
“Permohonan Najib terhadap Sri Ram adalah tanpa merit. Tiada hal yang dapat menyokong permohonan ini kerana ia kekal andaian (hypothetical),” kata Mohamed Zaini.
Najib sebelum ini dilapor mengemukakan beberapa permohonan di mahkamah berasingan untuk mengetepikan Sri Ram daripada tugas itu namun tidak berjaya.
Antaranya, pada 28 Ogos apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman Najib untuk membatalkan Sri Ram daripada pasukan pendakwaan dalam perbicaraan tersebut.
![]() |
Permohonan Najib ketepikan Sri Ram ditolak |
Bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy didakwa bersubahat dengan Najib meminda laporan terbabit untuk melindungi ahli parlimen Pekan itu daripada dikenakan tindakan.