PENGUMUMAN terbaharu kerajaan Perikatan Nasional (PN) berhubung isu komputer riba kepada pelajar menunjukkan ketidakpedulian mereka terhadap masalah rakyat.
Pengerusi Pakatan Harapan berkata, PN yang dikepalai Muhyiddin sepatutnya memberikan komputer riba kepada 150,000 pelajar secara percuma dan bukannya melalui program mirip Skim Pinjaman Buku Teks.
“Kita dengar di sidang Parlimen dulu iaitu sediakan peruntukan dan beli.
“Kemudian kementerian kata akan sediakan dan mulakan secara pinjaman,” katanya ketika ditemui media selepas menyumbangkan 1,000 tablet percuma kepada pelajar di kawasan Parlimen Port Dickson baru-baru ini.
Pada Belanjawan 2021 kerajaan berjanji menyediakan 150,000 komputer riba kepada pelajar.
Difahamkan, dana bagi pemberian komputer riba yang dirancang dibawah program Cerdik itu adalah melalui sumbangan dana berjumlah RM150 juta daripada 13 syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) yang dikuatkuasakan baru-baru ini, sekolah ditutup untuk kebanyakan pelajar kerana kelas dijalankan dalam talian tetapi tidak semua pelajar mampu membeli peranti atau data telekomunikasi.
Susulan itu beberapa Ahli Parlimen pembangkang termasuk Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim Chee Keong, telah memulakan inisiatif mengumpulkan dana untuk membantu pelajar tersebut.
Tokoh-tokoh terkemuka seperti pendakwah dermawan Ebit Lew dan bekas jaguh badminton kebangsaan Lee Chong Wei juga tampil menyumbang komputer riba dan tablet kepada golongan memerlukan.
Bagaimanapun kerajaan dikritik kerana masih belum memulakan program pemberian komputer riba yang dijanjikan.
Sementara itu tamabah Anwar, kelemahan itu bukan sahaja membayangkan bahawa kerajaan tidak faham masalah rakyat tetapi menyusahkan terutama mereka yang berada dalam golongan berpendapatan rendah (B40) .
“Kalau dalam kalangan pendapatan tinggi tidak apa. Tetapi B40 malah berpendapatan sederhana (M40) juga rasa tekanan.
“Jika mutu pendidikan terus macam ini, akan melemahkan terutama dalam kalangan pelajar miskin bandar dan desa,” katanya.
Sebelum ini, Syed Saddiq turut menyatakan rasa kecewa dengan kelemahan ditunjukkan PN dalam isu dihadapi pelajar itu.
![]() |
PN gagal faham masalah rakyat |
"Maksudnya, lepas pelajar dapat laptop, kena pulang semula. Ini sangat pelik caranya. Kenapa tak diberi terus sahaja?
"Kenapa laptop dibuat sama macam buku teks? Ketika perbentangan Belanjawan 2021 di dalam Dewan Rakyat, hal pinjaman ini tak pernah timbul.
"Kalau dah rosak, adakah pelajar dari keluarga susah ini kena ganti semula? Kalau macam tu, bermasalahlah sistem ini," tegasnya.
0 Comments