Langkah Anwar tepat - Penganalisis politik

 

PENGANALISIS politik menyifatkan langkah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan kerajaan melaksanakan darurat sebagai langkah tepat.

Memetik laporan FMT, Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, tindakan Anwar merupakan cara paling tepat dan terbaik serta rasmi untuk isu itu diselesaikan berbanding hanya retorik berlegar di kedai kopi.

“Mahkamah mempunyai kuasa untuk memberikan penjelasan dan pengisytiharan apabila sebarang permasalahan undang-undang dan perlembagaan tidak jelas.

“Ini bukan kes yang unik kerana sebelum ini juga ada peguam meminta mahkamah membuat penjelasan dan pengisytiharan sama ada keputusan Agong menolak darurat ini bertepatan dengan undang-undang atau sebaliknya,” katanya.

Tambah Awang Azman lagi, apabila timbul sesuatu perkara yang tidak jelas berkaitan undang-undang dan perlembagaan maka saluran terbaik ialah merujuk kepada mahkamah seperti dilakukan Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu.

Dengan tindakan itu tambahnya, perkara sama boleh dirujuk sebagai panduan sekiranya isu sama berulang.

“Selain itu, ia juga boleh dirujuk bukan saja di Malaysia tetapi oleh negara-negara Komanwel,” katanya lagi.

Peguam Anwar, Ramkarpal Singh sebelum ini memberitahu bahawa Anwar mahu isu berkenaan nasihat jemaah menteri untuk darurat diisytiharkan termasuk apakah tindakan kerajaan dikepalaiMuhyiddin Yassin menggantung Parlimen adalah tertakluk bawah klausa penyingkiran (ouster clause) dalam Artikel 150 Perlembagaan.

Beliau juga mahu mahkamah memerintahkan sama ada keputusan menggantung Parlimen boleh disemak semula oleh mahkamah, dan jika bidang kuasa perundangan, termasuk kuasa semakan semula berhubung prosedur, dapat dihalang sepenuhnya oleh badan perundangan.

 Tindakan dibawa Anwar dianggap tepat
Sementara itu, Bekas ahli akademik Universiti Teknologi Malaysia Azmi Hassan pula menegaskan pada pandangannya permohonan semakan oleh Anwar bukan mencabar pengisytiharan darurat, sebaliknya sebaliknya hanya mencabar tindak-tanduk Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ketika menjalankan tugasnya menasihati Agong.

"Saya menilai permohonan semakan atas alasan mungkin terdapat percanggahan Akta Malaysia dan Perlembagaan sebagai amat menarik sekali.

“Strateginya adalah untuk menentukan sama ada pengisytiharan darurat itu mempunyai kekuatan perundangan atau sebaliknya,” katanya dipetik laporan itu.

 

Post a Comment

0 Comments