Jangan guna darurat untuk selesai krisis politik - Bekas Menteri


BEKAS menteri yang juga merupakan peguam terkenal, Datuk Mohd Zaid Ibrahim mengingatkan ahli politik supaya tidak menggunakan Ordinan Darurat sebagai jalan keluar daripada krisis politik setelah kehilangan sokongan majoriti.

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu yang dipetik laporan FMT berkata, sebagai ahli politik yang dipilih rakyat, mereka juga perlu berpegang teguh pada prinsip undang-undang.

“Darurat tidak seharusnya digunakan untuk menyelesaikan kemelut politik, walaupun langkah ini pernah digunakan dengan berkesan sebelum ini.

“Sekiranya penyandang kehilangan sokongan, beliau tidak seharusnya gentar untuk mengundurkan diri kerana dalam demokrasi, satu hari nanti mereka akan kembali lagi. Ini bagi memastikan kestabilan.” katanya dipetik laporan itu.

Sebelum ini, Ahli politik pembangkang mendakwa Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri melaksanakan darurat kerana beliau kehilangan sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Kerajaan pada 12 Jan lalu mengumumkan darurat dengan alasan menangani pandemik Covid 19 sekaligus menyebabkan persidangan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) digantung sehingga 1 Ogos.

Sementara itu, Zaid berharap darurat segera ditamatkan dan mandat diberikan semula kepada rakyat untuk memilih.

Ia tegasnya bagi memulihkan kembali demokrasi dan sekaligus memulihkan semula ekonomi negara yang telah terjejas teruk.  

“Kesannya sangat buruk kepada negara jika darurat dilanjutkan. Dari segi ekonomi juga kita terkesan teruk.

 Zaid harap darurat segera tamat


“Kita boleh lihat, kita kehilangan pelabur luar.” tambahnya lagi.

 
Beliau turut menegaskan bahawa darurat adalah langkah yang menguntungkan individu tertentu sahaja.

“Ada yang berkata bahawa darurat ini bukanlah satu bentuk rampasan kuasa tentera, sebaliknya ia adalah darurat orang awam. Tiada bezanya antara seorang yang mengenakan sut dan seorang lagi memakai pakaian seragam.” tegasnya.

Post a Comment

0 Comments