AHLI PARLIMEN Hang Tuah Jaya Shamsul Iskandar Md Akin membidas sikap kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang kurang cekap dalam menetapkan prosedur operasi standard (SOP) yang relevan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.
Dalam perutusan sempena sambutan Tahan Baru Cina, Shamsul yang merupakan bekas Timbalan Menteri Industri Utama itu berkata kelemahan itu amat mengecewakan kerana negara sudah berdepan pendemik Covid-19 untuk tempoh lebih setahun.
Tambahnya, kelemahan itu juga telah menyusahkan rakyat dan ia menjadi alasan untuk Malaysia ditadbir kerajaan yang lebih proaktif dalam menangani isu berkaitan pendemik berkenaan.
"Selepas rakyat menyuarakan penentangan dan viral di media sosial, barulah kerajaan terhegeh mengubah SOP.
"Dan akhirnya kita sentiasa keliru dengan SOP yang berkecamuk ke sana ke sini.
"Kita perlukan kerajaan kuat yang proaktif bukan reaktif seperti sekarang," katanya.
Sebagai rekod, Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengubah prosedur operasi standard (SOP) bagi perayaan Tahun Baru Cina, selepas menerima kritikan terutama daripada masyarakat Cina.
Ini selepas MKN hanya membenarkan acara itu disertai ahli keluarga yang tinggal di rumah sama.
Selepas dikritik, kerajaan setuju membenarkan acara makan besar melibatkan ahli keluarga daripada rumah berbeza dengan syarat tidak melebihi 15 orang.
Bukan sekadar SOP membabitkan perayaan, kerajaan yang dikepalai Muhyiddin Yassin turut dikritik dalam banyak isu.
Minggu ini, PN berdepan kritikan dalam isu pematuhan SOP terutama melibatkan ahli politik dan orang kenamaan yang didakwa berat sebelah.
Ia susulan pengumuman Menteri Kesihatan, Adham Baba melalui warta kerajaan yang mengecualikan menteri kabinet yang kembali dari lawatan rasmi luar negara dari wajib kuarantin 10 hari seperti diwajibkan kepada individu lain.
Melalui warta itu, Menteri PN hanya menjalani pemerhatian hanya selama tiga hari atau pengawasan sehingga boleh dilepaskan.
![]() |
Kerap tukar SOP akan kelirukan rakyat |
Sementara itu Shamsul turut berkata, kerajaan hari ini bukan sahaja lemah menetapkan SOP sepatutnya, malah mengheret negara kepada masalah ekonomi.
"Segala statistik dan data ekonomi tidak menyebelahi kita ketika ini. KDNK menyusut 5.6 peratus terburuk dalam sejarah sejak tahun 1998.
"Bagaimana mahu meyakinkan para pelabur sekiranya merangka SOP perayaan pun kerajaan kelam kabut.
"Berapa kali lagi kita perlu masuk ke gelanggang media sosial untuk mengajar kerajaan mengenai SOP yang betul?" katanya lagi.
0 Comments