Apa langkah K'jaan bendung Covid-19, soal Anwar

  


PENTADBIRAN Muhyiddin Yassin digesa mendedahkan rancangan mereka untuk membendung penularan Covid-19 yang semakin membimbangkan.

Gesaan itu disuarakan Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan jangkaan oleh Kementerian Kesihatan bahawa Malaysia berkemungkinan berdepan sehingga 8,000 kes harian.

"Kerajaan harus segera mendedahkan apa rencana mereka dan juga strategi bagi membendung penularan wabak ini tatkala sistem kesihatan sudah semakin tenat, serta rancangan bagaimana ekonomi kita harus terus bergerak saat ini.

"Jangkaan yang dilakukan Kementerian Kesihatan yang Malaysia akan berhadapan dengan kemungkinan 8,000 kes harian sangat membimbangkan," kata Ketua Pembangkang itu dalam satu kenyataan media.

Kenyataan itu disiarkan susulan laporan bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed  dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat, Rina Harun disahkan positif wabak itu.

Sambil mendoakan kesembuhan kepada kedua-dua menteri kabinet berkenaan, Anwar menyeru semua pihak memainkan peranan dalam membendung wabak Covid-19.

"Apa yang terutama adalah para pemimpin politik mesti tingkatkan disiplin dan keprihatinan kepada rakyat yang tidak menerima sebarang layanan istimewa ketimbang mereka yang berada di dalam kerajaan," kata Anwar.

Penularan Covid-19 terus mencatatkan empat angka dengan 2,433 kes baru direkodkan semalam menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 135,992 kes, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 27,332 kes.
 
Semalam Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menyatakan kebimbangannya terhadap kadar kematian akibat Covid-19 antara tahun ini dengan tahun lalu.

Apa langkah kerajaan seterusnya?
"Untuk sembilan bulan pertama pada 2020, kes kematian kurang daripada 100. Pada tahun ini, dalam tempoh sembilan hari, kita sudah mencatatkan sebanyak 71 kes kematian Covid-19.

"Kita amat bimbang dengan perkembangan ini dan semoga Allah melindungi kita semua," katanya.

Kerajaan dipimpin Muhyiddin kini berdepan persepsi daripada orang ramai berhubung peningkatan mendadak wabak itu.