KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sepatutnya dilihat 'berdosa' apabila blok pembangkang gagal menolak Belanjawan 2021 dibentangkan Perikatan Nasional (PN) di Dewan Rakyat.
Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang dipetik temubual bersama Sinar hari ini berkata, apa yang dilakukan sejak kebelakangan ini bukan bersifat peribadi.
Ia tegasnya sebagai usaha Anwar untuk mendapatkan semula mandat sebagai kerajaan seperti mana yang dipersetujui secara bersama oleh pemimpin parti lain dalam HARAPAN.
"Saya nak tegaskan, keputusan untuk ambil alih mandat adalah keputusan HARAPAN dan sokongan itu diberikan kepada Anwar untuk menggerakkan usaha tersebut.
"Ini menepis dakwaan atau tohmahan yang timbul bahawa ini adalah keputusan dan agenda peribadi Anwar. Saya menafikan sekeras-kerasnya ini usaha peribadi Anwar.
"HARAPAN telah calonkan Anwar (sebagai ketua pembangkang) untuk ambil semula mandat (kerajaan). Bukan dosa untuk seorang yang telah dicalonkan berusaha.
"Prosesnya boleh dibuat dalam dan luar Parlimen. Jika satu tewas (undi bajet), satu lagi masih berjalan (akuan bersumpah)," katanya.
Beliau mengulas kenyataan bersama dibuat oleh Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng supaya tidak membazirkan tenaga mengejar bayang-bayang dan tidak perlu membuang masa dengan ahli Parlimen kerajaan yang oportunis.
Tuding Jari
Anwar sebelum ini dijadi 'kambing hitam' setelah pembangkang gagal menolak belanjawan 2021.
Sebagai rekod, sehingga kini belum ada mana-mana belanjawan dibentang kerajaan persekutuan pernah ditolak, Namun belanjawan dibentangkan pentadbiran Muhyiddin baru-baru ini berdepan tentangan sengit apabila sekadar diluluskan dengan kelebihan 3 majoriti.
Malah seorang Ahli Parlimen pembangkang dari Warisan, Rozman Isli turut mencadangkan supaya Ketua Pembangkang ditukar.
Sementara itu tegas Saifuddin, kegagalan di Dewan Rakyat itu juga bukan isyarat HARAPAN telah gagal dalam usaha mendapatkan majoriti bagi menjatuhkan PN kerana usaha tersebut masih berlangsung di luar Dewan Rakyat.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, kenyataan Mahammad Sabu dan Lim itu seolah-olah menuding jari kepada Anwar yang sebelum ini sering menyebut tentang majoriti yang diperolehi sedangkan katanya DAP dan Amanah selaku rakan sekutu sebenarnya memahami dan maklum tentang usaha Anwar itu.
![]() |
Lim dan Mat Sabu seolah-olah tuding jari |
"Mengenali cara Anwar menjalankan tanggungjawab, beliau sentiasa memaklumkan progres terhadap usaha beliau kepada pimpinan utama HARAPAN," tegas Ahli Parlimen Kulim Bandar Bahru itu lagi.
Ditanya adakah kenyataan dibuat Ahli Parlimen Kota Raja dan Bagan itu dilihat sebagai satu bentuk tekanan kepada Anwar dan menggugat kesatuan dalam HARAPAN, Saifudin bagaimanapun berfikiran sebaliknya.
Beliau menyifatkan perkembangan terkini antara KEADILAN, DAP dan Amanah itu hanya perkara kecil dan bukannya kedudukan paling paling lemah HARAPAN jika dibandingkan ketika Pas keluar daripada Pakatan Rakyat (PR) pada tahun 2015.
0 Comments