Polis sedang 'cari' Sebastian


SEORANG
lelaki dikenali sebagai Sebastian diburu pihak polis kerana mengeluarkan ugutan akan menembak mati Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed yang dipetik laporan media berkata, pihak polis telah membuka dua kertas siasatan terhadap lelaki yang mendakwa dirinya ketua komander kumpulan pengganas, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) 2.0 itu.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Ada dakwaan mengatakan suspek tidak siuman namun siuman atau tidak kita akan kesan terlebih dahulu," katanya pada sidang media di Bukit Aman semalam.

Tambah Huzir, suspek juga dikesan turut terbabit dengan kenyataan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong beberapa bulan lalu.

Pada Isnin, sebuah akhbar melaporkan seorang lelaki itu mahu menyerang Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Kementerian Pertahanan (MINDEF) selain mendakwa akan menembak mati Abdul Hamid Bador.

Sebastian dakwa dirinya komander LTTE
Melalui e-mel ugutan yang dihantar kepada pihak media, lelaki itu turut mendakwa akan menyerang Sri Lanka selepas serangan tersebut.

Dia turut mendakwa pihak polis menghalang media untuk berhubung dengannya sehingga gagal menggunakan WhatsApp dan telefon bimbit termasuk komputernya turut disekat.

Post a Comment

0 Comments