Pemimpin Umno akui PN kerajaan lemah dan tak stabil

 


SEORANG Ahli Parlimen dari Umno mengakui kerajaan Perikatan Nasional diketuai Muhyiddin Yassin lemah dan tidak stabil.

Tan Sri Noh Omar yang mewakili pengundi Tanjung Karang berkata begitu sebagai mengulas keputusan Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 semalam dengan kelebihan hanya tiga undi menyokong.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor itu yang laporan Awani malah berkata, kelemahan dalam kerajaan PN sebenarnya telah disedari sejak awal penubuhannya.

“Lebih tiga majoriti ketika ini, maksudnya kalau ada undian akan datang, sekiranya empat individu tidak hadir maka kerajaan ini tidak mendapat sokongan.

“Kalau kita lihat di dunia ini kalau tidak silap kerajaan PN inilah yang merupakan kerajaan mempunyai majoriti paling tipis sekali di mana hanya lebih tiga undi sahaja,” katanya dipetik laporan itu.

Sementara itu jelasnya, sekiranya ketidakstabilan ini berpanjangan, ia akan memberi kesan besar kepada negara terutama dalam usaha memulihkan semula ekonomi.  

"sekiranya keadaan ini berterusan, ia akan turut memberi kesan kepada pelabur luar berikutan situasi ketidaktentuan politik negara," tegasnya.

Sebagai rekod, sehingga kini keasbahan kerajaan dan jawatan Perdana Menteri disandang Muhyiddin Yassin tidak diuji di Parlimen.

Media melaporkan seramai 25 usul tidak percaya telah dikemukakan kepada Muhyiddin di Parlimen bagi persidangan sesi ini, namun kemungkinan besar ia tidak akan dibacakan.

Sebelum ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun supaya berani mengangkat usul terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu.

 Ketidakstabilan politik jejas pelabur
Ia jelasnya bagi menamatkan ketidaktentuan politik yang memberi impak kepada ekonomi negara susulan penurunan penarafan Malaysia dari AAA- ke BBB+ oleh Fitch Ratings.

Tegas Anwar, penurunan penarafan itu jelas telah memperlihat kegagalan perancangan dasar serta tatakelola Kerajaan PN.


Post a Comment

0 Comments