Anwar paling layak jadi calon Perdana Menteri



PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim masih diyakini sebagai individu paling layak menjadi calon Perdana Menteri mewakili blok pembangkang sekarang.

Pendirian itu disuarakan Ahli Parlimen Hulu Langat,  Datuk Hasanuddin Mohd Yunus seperti disiar portal Sinar.

Menurut Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu, ketokohan Anwar tetap unggul malah beliau mendapat sokongan padu daripada Ahli Parlimen Pakatan Harapan (HARAPAN).
 
"Setakat ini, Anwar paling layak menerajui negara. Saya rasa semua Ahli Parlimen HARAPAN masih berpandangan begitu dan terbukti dalam satu sesi perbincangan tertutup diadakan dua minggu lalu Ahli Parlimen HARAPAN menzahirkan sokongan padu pada Anwar," katanya.

Mengulas lanjut mengenai isu pertukaran kerajaan, Hasanuddin berkata, dengan perkembangan kebelakangan ini, HARAPAN masih memerlukan sokongan daripada ahli Parlimen di luar 'circle gabungan itu' untuk meyakinkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"PN dan Muafakat Nasional sentiasa bercakaran sesama mereka. Sebab itu kami sentiasa berinteraksi dengan ahli Parlimen di luar HARAPAN dan meninjau peluang untuk menukar kerajaan yang tidak stabil ini," tambahnya lagi.

Selesaikan segera

Sementara itu, pandangan serupa turut disuarakan Ahli Parlimen Pasir Gudang.

Hassan Karim yang dipetik laporan Malaysiakini berkata, Anwar merupakan calon Perdana Menteri paling layak.

"Anwar selaku ketua pembangkang wajar diangkat sebagai calon perdana menteri gahungan besar HARAPAN dan parti-parti pembangkang lain," katanya.

Susulan itu, Hassan mencadangkan pemimpin pembangkang mengadakan perbincangan untuk menentukan siapa yang wajar dipilih.

 Anwar calon paling layak
"Pemimpin-pemimpin utama parti politik dalam HARAPAN dan blok pembangkang perlu menyelesaikan hal calon ketua gabungan besar pembangkang serta bakal calon perdana menteri segera," tambah bekas pengamal undang-undang itu lagi.

Pandangan kedua-dua Ahli Parlimen itu menyusul selepas Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal secara terbuka menyarankan pembangkang memilih kepemimpinan baru menghadapi PN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Sementara itu, Hassan turut menyarankan supaya usaha meraih kembali sokongan rakyat terhadap HARAPAN diperkukuhkan.  

"Bina naratif yang jelas mengapa dalam PRU ke-15 nanti rakyat Malaysia patut sokong gabungan baru yang berteraskan HARAPAN dengan Anwar sebagai calon PM," jelasnya.

 

Post a Comment

0 Comments