TIDAK menjadi masalah untuk Pakatan Harapan (HARAPAN) mengundang siapa sahaja untuk bekerjasama asalkan mereka berpegang kepada prinsip gabungan itu.
Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata begitu bagi mengulas idea gabungan besar antara parti pembangkang untuk menghadapi PRU ke-15 yang dicanang beberapa pemimpin pembangkang baru-baru ini.
Tambah Anwar, pihak yang diundang tidak boleh membawa agenda peribadi serta kerosakan kepada gabungan itu.
"Itu saya serah pada HARAPAN. Siapa pun boleh undang, tapi patuh pada prinsipnya.
"Bukan bawa agenda peribadi dan meneruskan kebobrokan yang lama," katanya selepas menghadiri satu acara di Shah Alam semalam.
Difahamkan, idea gabungan besar pembangkang dicetuskan oleh Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Mohd Shafie Apdal.
Pada dasarnya melibatkan pembabitan Pakatan Harapan, parti Pejuang, Warisan, UPKO, PSB, Muda.
Timbalan Presiden Amanah Datuk Seri Salahuddin Ayub dalam satu laporan media sebelum ini berkata, parti itu menyambut baik saranan tersebut.
![]() |
Jangan bawa kebobrokan kembali |
Sementara itu, Ketua Penerangan KEADILAN Shamsul Iskandar Mohd Akin pula berpendapat untuk merealisasikan perkara itu, perjanjian asal menyokong Anwar untuk memimpin negara seperti yang dijanjikan selepas HARAPAN memenangi PRU ke-14 perlu dikotakan.
"Kembali kepada perjanjian asal! Mandat rakyat sewaktu PRU ke-14 jelas. Menyokong DSAI (Anwar) untuk memimpin negara selepas Dr Mahathir.
"Justeru, saya percaya Amanah boleh meyakinkan Mahathir untuk mendukung segala usaha DSAI mengembalikan semula mandat rakyat dan terus memimpin pakatan pembangkang pada waktu ini," kata Shamsul.
Sementara itu, Anwar ketika ditanya mengenai keinginan Dr Mahathir untuk kembali menerajui negara, berkata, soalan berkenaan sudah tidak relevan dan menyifatkan siapa saja yang ingin menjadi perdana menteri harus mempunyai tekad untuk melaksanakan reformasi dan tadbir urus yang baik.
"Bagi saya soalan itu tidak relevan...tidak peduli siapa pun, dari parti mana, mesti ada komitmen untuk memerangi rasuah dan tidak melindungi keluarga dan kroni.
"Komited untuk memperjuangkan dan membantu penderitaan orang miskin di luar bandar, masyarakat terpinggir," katanya dipetik.
0 Comments