Lantik Takiyuddin 'jaga' Kedah tidak munasabah - Mahfuz

 


PERLANTIKAN Ahli Parlimen Kota Bharu, Takiyuddin Hassan sebagai ‘menteri penyelaras’ antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Kedah disifatkan sebagai “pelik dan tidak munasabah”.

Naib Presiden Amanah, Mahfuz Omaryang dipetik laporan FMT berkata, tidak ada sebarang keperluan untuk perlantikan itu memandangkan kerajaan pusat dan kerajaan negeri Kedah kedua-duanya diterajui Perikatan Nasional.

“Kalau untuk projek pembangunan (di Kedah) sepatutnya tanggungjawab kerajaan negeri.

“Dia (kerajaan Kedah) boleh terus mohon di peringkat pusat berkaitan apa projek yang nak dijalankan pihak kerajaan negeri, dari mana-mana menteri tanpa melalui menteri penyelaras.

 Mahfuz anggap lantikan tidak munasabah
“Kalau ada menteri penyelaras antara Putrajaya dan kerajaan negeri pimpinan pembangkang seperti Pulau Pinang, Negeri Sembilan, atau Selangor ia mungkin munasabah dan boleh diterima,” kata Mahfuz.

Terdahulu, Wan Rohimi Wan Daud, selaku setiausaha politik Takiyuddin dilapor berkata menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-undang) itu dilantik menteri penyelaras antara kerajaan persekutuan dan kerajaan Kedah pada 1 Sept 2020.

Wan Rohimi berkata demikian selepas tersebar tangkap layar perbualan Takiyuddin dan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz mengenai apa yang difahamkan berkaitan pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) membabitkan anak syarikat kerajaan Kedah, Bina Darulaman Berhad (BDB) dan Taliworks Corporation sebagai rakan kerjasama yang kemudian dipersoalkan.

Sementara itu,  Mahfuz menambah, perlantikan Takiyuddin sebagai menteri penyelaras untuk hal ehwal Kedah, membawa andaian Putrajaya tidak menyakini kepimpinan Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor.

“Bagi saya, mungkin menteri besar Kedah ada kelemahan tertentu sehingga tak ada kemampuan nak berunding dengan menteri lain,” katanya sambil menggesa Muhyiddin Yassin menjelaskan rasional lantikan itu.


Post a Comment

0 Comments