Kalah PRN Sabah, Warisan digesa tukar pemimpin


PARTI Warisan Sabah (Warisan) yang dipimpin Shafie Apdal perlu membuat perubahan segera dalam kepimpinan parti itu.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah, Razeef Rakimin berkata, Warisan boleh berdepan kegagalan pada pilihan raya umum Ke-15 (PRU15) akan datang sekiranya perubahan besar dalam parti itu tidak dilakukan.

Tanpa merujuk kepada mana-mana pihak, Razeef berkata, kegagalan Warisan telah terbukti pada pilihan raya negeri (PRN) lalu apabila kerajaan Warisan Plus ditolak oleh rakyat Sabah kerana silap percaturan serta keegoan pemimpinnya.

“Perubahan perlu dilakukan secara menyeluruh ke atas kepemimpinan yang ketika ini tidak menyatukan dan tiada arah.

“Saya tidak mahu merujuk kepada seseorang, tetapi sudah tiba masanya untuk perubahan dalam kepemimpinan pembangkang di Sabah. Ia sesuatu yang disuarakan oleh banyak parti komponen sebelumnya.

“Saya membayangkan pembangkang Sabah akan gagal pada pilihan raya akan datang jika masih diketuai kepemimpinan sama,” katanya dipetik laporan FMT.

Kenyataan Razeef dilihat sebagai jawapan kepada saranan Shafie semasa merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Warisan 2019 di Likas baru-baru ini yang menggesa Pembangkang di negara ini perlu berani menukar barisan kepemimpinannya untuk terutama dalam menghadapi PRU15.
 
Kata bekas Ketua Menteri Sabah itu, pemimpin pembangkang tiada hala tuju yang jelas dan gagal menyatupadukan rakyat dan pemimpin.

Sementara itu, Razef menegaskan bahawa Warisan Plus sebelum ini cuba menyatukan rakyat Sabah, tetapi gagal walaupun pelbagai cara dilakukan.

“Ia tidak ke mana kerana tiada arah yang jelas daripada pemimpin mereka, selain menaikkan papan iklan yang tertera wajah pemimpin tertentu dengan ayat-ayat manis yang tidak menjanjikan apa-apa.

“Saya telah nyatakan bahawa penyatuan tanpa mengira kaum dan agama itu perlu dicontohi melalui sejarah penubuhan KEADILAN, bukan hanya melalui ceramah dengan menabur ayat-ayat manis.

“Kita boleh lihat bagaimana KEADILAN berjaya menjadi parti kerajaan paling besar pada 2018. Ini kerana KEADILAN membawa maksud Malaysia sebenar dengan kepelbagaian kaum dan agama,” katanya sambil menggesa pemimpin Warisan mencari titik persamaan memandangkan tiga parti komponen dalam gabungan Warisan Plus merupakan parti nasional.

 Razeef gesa ubah kepimpinan Warisan
“Jika rombakan kepimpinan yang berada di takuk lama tidak dilakukan, keputusan sama akan diperolehi oleh Warisan Plus.

“Sekiranya pembangkang tidak membuat perubahan untuk bersatu dan tidak merancang masa depannya, selain tidak berani membuat perubahan, maka rakyat tidak akan memilih Warisan Plus pada pilihan raya yang akan datang,” katanya lagi.

Post a Comment

0 Comments