Belanjawan 2021 lulus, namun masalah PN belum selesai


KERAJAAN
Perikatan Nasional (PN) akan terus berdepan dengan masalah keyakinan, tegas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu berkata, kerajaan yang dipimpin Muhyiddin Yassin itu tidak berjaya memperoleh separuh dari keseluruhan undi Ahli Parlimen sekaligus membuktikan mempunyai masalah mendapat sokongan kuat di Dewan Rakyat.

Ia tegasnya akan membuka peluang untuk “watak-watak rakus” yang mementingkan diri mengambil kesempatan.

"Saat negara sedang memerlukan suatu anjakan baru tentang bagaimana harus kita bangkit dari suasana ekonomi pandemik seperti hari ini, PN telah membuktikan bahawa ia tidak berkeupayaan untuk menjalankan tanggungjawab dengan berkesan.

"Ini telah dibuktikan hari ini apabila ia hanya berjaya mempunyai tidak lebih dari 112 sokongan

"Kerajaan lemah seperti ini akan terus tunduk kepada watak-watak rakus yang berkepentingan dan kebajikan rakyat akan terus dikorbankan," katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Kenyataan itu menyusul setelah Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 dibentangkan kerajaan lulus selepas bacaan ketiga yang diputuskan melalui undian belah bahagian.

Dalam undian itu, 111 menyokong, 108 menentang sementara 1 tidak hadir.
 
Tambah Anwar, belanjawan itu juga terdapat banyak kelemahan dan telah dibukti dan diperdebatkan secara terperinci di Dewan Rakyat oleh ahli-ahli Parlimen.

Jelasnya, Belanjawan 2021 mencerminkan kerajaan PN hanya mengutamakan hayat politik lebih dari kebajikan dan keterdesakan hidup rakyat.
 
"Semasa perbahasan belanjawan di peringkat jawatankuasa, terdapat ramai ahli Parlimen dari pelbagai parti politik yang telah menyuarakan kebimbangan terhadap pelbagai isu mustahak, terutamanya isu pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan kurangnya jala keselamatan melibatkan warga yang tidak punyai simpanan KWSP...

"...peruntukan yang melampau tinggi sebanyak RM45.5 juta kepada Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) dan tujuan dana tersebut diperuntukkan, apakah ia digunakan untuk tujuan politik dan sebagainya, dan juga peruntukan yang tidak mencukupi kepada para peniaga yang kini sedang terhimpit," ujar lagi.

Ahli Parlimen Port Dickson itu juag berkata, ekonomi Malaysia semakin parah dan kerajaan PN tidak berupaya untuk memberikan rakyat pembelaan yang diperlukan.

“Penurunan penarafan Malaysia oleh Fitch Ratings baru-baru ini juga menunjukkan betapa lemahnya prestasi pengurusan ekonomi negara, dan tahap tatakelola yang membimbangkan.

 Menang tiga undi, PN akan berdepan masalah
“Kita sedang kembali ke era gelap di mana kerajaan akan terus menginjak prinsip ketelusan, tatakelola yang baik dan pengurusan dana yang cekap,” kata Anwar.

Presiden KEADILAN itu melalui kenyataan serupa turut melahirkan rasa kesal dengan “beberapa” Ahli Parlimen yang menyatakan pandangan keras terhadap beberapa isu dalam belanjawan tetapi kemudian mengundi untuk menyokongnya.


 

Post a Comment

0 Comments