PENGERUSI Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Jalil yang meninggal dunia semalam.
Melalui satu kenyataan, Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu berkata, Allahyarham banyak menyumbang kepada gagasan penting dalam pelbagai lapangan di negara ini.
Antaranya dalam bidang pendidikan, ekonomi dan pembasmian kemiskinan.
Anwar turut menyorot kembali peranan dimainkan Allahyarham Ungku Abdul Aziz disebalik penubuhan Lembaga Urusan Tabung Haji dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA).
"Saya yakin sumbangan besar beliau kepada bangsa akan dikenang rakyat dan negara," kata Anwar dalam kenyataan.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Prince Court di Kuala Lumpur kira-kira jam 4.30 petang Selasa akibat sakit tua.
Tokoh Maal Hijrah tahun 1997 itu berusia 98 tahun.
Bapa kepada kepada bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar dianugerahkan gelaran Profesor Diraja Ekonomi (Pembangunan Luar Bandar) pada 17 Jun 1978.
Beliau pernah memenangi Hadiah Budaya Asia Fukuoka IV pada tahun 1993 serta dianugerahkan sebagai Tokoh Maal Hijrah, pada 1997.
Allahyarham juga dianugerahkan Tokoh Ekonomi Melayu pada 25 Jun 2005 dan menerima Anugerah Akademik Negara pada 2006
Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, 10 malam tadi
Lebih 20 ahli keluarga dan kenalan terdekat Allahyarham hadir memberi penghormatan dalam upacara pengebumian ini.
Allahyarham mendapat ijazah dalam bidang ekonomi pada 1951, di Universiti Malaya (UM), Singapura sebelum memperoleh Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang sama di Universiti Waseda, Tokyo pada 1964.
![]() |
Anwar sampaikan ucapan takziah |
"Pengorbanan dan tunjuk ajar sewaktu berada di Universiti Malaya juga sentiasa tersemat utuh dalam jiwa saya,' tambah Anwar dalam kenyataannya.