Akmal bertemu Anwar, jelaskan khilaf yang berlaku


KETUA
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Akmal Nasir hari ini mengambil 'langkah betul' apabila mengadakan pertemuan dengan presiden partinya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pertemuan itu dimaklumkan sendiri Ahli Parlimen Johor Bahru itu melalui muat naik di laman Facebooknya siang tadi.

“Alhamdulillah, saya telah bertemu Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen hari ini.

"Saya mengambil kesempatan untuk menjelaskan kekhilafan yang berlaku dan beliau berharap isu ini tidak diperpanjangkan lagi," katanya dalam muat naik itu sambil berkongsikan gambar pertemuan itu.
 
Turut kelihatan dalam gambar tersebut ialah Setiausaha Agung KEADILAN Saifuddin Nasution Ismail.

Sebelum ini tular tangkapan layar perbualan memaparkan perbualan beberapa pemimpin AMK yang didakwa "menghina" beberapa keputusan Anwar.

Akmal berdepan desakan daripada beberapa pemimpin AMK yang menuntut dia memberi penjelasan berhubung dakwaan itu. Mereka turut mendesak Akmal meletak jawatan.

Bagaimanapun, AMK negeri kemudian dalam satu kenyataan mengesa ahlinya kembali bersatu tidak terperangkap dalam apa-apa usaha memecah belah sayap pemuda itu.

Sementara itu, Akmal ketika mengulas pertemuannya dengan Anwar berkata, beliau menerima pandangan Ketua Pembangkang itu agar semua ahli parti melihat ke hadapan dan memberi tumpuan kepada usaha melaksanakan reformasi.

“Kita KEADILAN adalah satu keluarga. Perbezaan sesama kita perlu diraikan selagi perbezaan itu bernaung di bawah prinsip dan idealisme reformasi,” katanya.

Parti itu sebelum ini memang berdepan dengan pelbagai perselisihan dalaman, termasuk membabitkan Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali, yang pernah menjadi timbalan presiden.

 Isu perbualan yang tular selesai
Krisis itu kemudian menyaksikan Azmin dan beberapa ahli parlimen yang bersamanya meninggalkan KEADILAN untuk menjadi ahli parlimen bebas sebelum sebahagian besar mereka menyertai Bersatu.

Walau bagaimanapun, akar umbi mendakwa masih ada segelintir saki baki penyokong Azmin masih berada di dalam parti berkenaan termasuk dalam sayap pemuda itu sendiri.

Post a Comment

0 Comments