Jabatan Imigresen perlu dirombak - Patriot


TANGKAPAN begitu ramai pegawai imigresen yang didakwa melakukan kegiatan haram baru-baru ini dianggap sebagai amat mengejutkan dan membimbangkan.

Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) dalam satu kenyataan berkata, laporan tangkapan itu telah memberi gambaran kepada masyarakat bahawa wujud keadaan tidak baik dalam agensi penguatkuasaan itu.
 
“Sukar dipercayai begitu ramai pegawai yang tidak bertanggungjawab dibiarkan melakukan kegiatan haram mereka sejak sekian lama tanpa disedari oleh pihak atasan, melainkan pihak atasan sendiri turut terlibat dalam kegiatan haram itu.

“Jumlah tangkapan yang besar adalah petunjuk kepada kelemahan yang wujud dalam pengurusan, operasi, dan kawalan Jabatan Imigresen,” kata presidennya Mohamed Arshad Raji.

Portal berita tempatan minggu lalu melaporkan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 50 orang, termasuk 28 pegawai imigresen, yang merupakan sebahagian ahli daripada sebuah sindiket baru-baru ini.

Sindiket berkenaan yang yang aktif sejak setahun lalu itu di pintu keluar-masuk utama negara, termasuk KLIA, klia2, dan Komplek Kastam dan Kuarantin di bangunan Sultan Ismail (BSI) di Johor Bahru didakwa memberi khidmat kepada majikan yang mahu pekerja asing mereka terus berada di sini atau pulang ke negara asal.

Dalam tangkapan itu, SPRM turut merampas lebih RM800,000 wang tunai, 26 kereta mewah dan 4 motosikal berkuasa tinggi.

Sementara itu,  Arshad berkata, penangkapan itu juga memberi cerminan betapa lemahnya kepemimpinan jabatan terbabit, kerana mereka sepatutnya tahu bahawa pekerjaan masing-masing menuntut pematuhan ketat peraturan dan prosedur jabatan.

Arshad dakwa ada kelemahan dalam jabatan
"Justeru Patriot menggesa kerajaan supaya membuat rombakan besar-besaran ke atas kedua-dua jabatan itu.

“Ketua jabatan perlu diberitahu dengan jelas bahawa mereka bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kegagalan dalam jabatan mereka pada masa depan ,” katanya.

Post a Comment

0 Comments