Anda berhak untuk marah - Hanipa Maidin


TINDAKAN beberapa wakil rakyat Amanah yang bangun dan meminta undi belah bahagi dianggap berlaku setelah mereka terlepas pandang saranan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin berkata, tidak timbul soal sama ada tindakan itu menjadikan seseorang sebagai wira, seperti dibangkitkan pihak tertentu selepas undi belah bahagi itu gagal, semalam.

“Ya benar anda semua berhak dan kecewa, anda tidak salah untuk marah dan kecewa. Kami boleh hargai kemarahan dan kekecewaan yang teramat itu,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) di peringkat dasar melalui undian suara.

Sebelumnya, sebahagian besar Ahli Parlimen, termasuk pembangkang tidak menyokong cadangan undi belah bahagi seperti diusulkan Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar.

Dalam sidang media lewat petang semalam, Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan sebab pihaknya tidak mahu undi belah bahagi dijalankan, antaranya agar pihak pembangkang tidak dilihat membelakangi titah Yang Di-Pertuan Agong dan dilihat menolak insentif baru yang diumumkan.

"Saya tidak mahu dilihat mengabaikan fakta bahawa menteri telah mengambil beberapa langkah, yang lebih diterima oleh rakyat," kata Anwar.

Terlepas pandang arahan
Sementara itu Hanipa berkata, sebagai seorang pemimpin HARAPAN, beliau sendiri menerima kecaman pedas daripada isteri dan anak-anaknya sebaik sahaja berada di rumah.

“Berpesta mereka kritik dengan pedas. Saya tidak marah dan hanya boleh senyum dan ketawa dalam duka. Saya tahu mereka amat kecewa kerana saya juga kecewa,” katanya.

 

Post a Comment

0 Comments