TINDAKAN perobohan 20 struktur atas rizab sungai di Desa Subang Perantau 2 Pejabat Daerah dan Tanah Petaling bukan dibuat secara melulu seperti didakwa sesetengah pihak.
Sebaliknya penguatkuasaan dijalankan atas jajaran Sungai Pelempas itu adalah mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965.
Ia juga bagi memastikan pelaksanaan Projek Rancangan Tebatan Banjir yang dimulakan pada April 2016 lalu dapat disiapkan segera.
Memetik laporan media kerajaan negeri, Kedudukan struktur sedia ada diatas tanah rizab itu dikenal pasti sebagai faktor menghalang pelaksanaan projek awam hingga mengakibatkan lanjutan masa (EOT) keatas projek sebanyak empat kali.
Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Pelempas bernilai RM15.13 juta membabitkan kerja-kerja naik taraf Sungai Pelempas sepanjang 2.1km dibuat bagi menangani masalah banjir yang kritikal di daerah Petaling dengan kekerapan lebih dua kali setahun. Projek tersebut pada awalnya dirancang untuk disiapkan pada Oktober 2017.
Bagi mengurangkan impak terpaksa ditanggung penduduk, pihak berkuasa tempatan menyerahkan Notis 425 supaya penduduk mengosongkan premis pada 30 Disember 2019 dan 13 Mac 2020.
Seksyen tersebut merujuk kepada kesalahan menduduki, atau membina apa-apa bangunan di atas, mana-mana tanah Kerajaan, tanah rizab atau tanah perlombongan dipegang oleh atau bagi pihak Kerajaan Persekutuan atau Negeri.
Difahamkan, mana-mana individu yang melakukan kesalahan di bawah sub-seksyen tersebut jika disabitkan, dikenakan denda yang tidak melebihi sepuluh ribu ringgit, atau dipenjarakan untuk suatu tempoh yang tidak melebihi satu tahun, atau kedua-duanya.
Bagaimanapun tindakan keras tidak diambil, sebaliknya pihak berkuasa telah menangguhkan kerja-kerja perobohan. Ia bagi membolehkan penduduk meraikan sambutan Aidiladha, malah dua struktur yang dikenali Plot B diberikan penangguhan perobohan selama dua minggu bagi membolehkan pemilik memindahkan barangan.
Malah , Exco Infranstruktur dan Kemudahan Awam negeri, Ir. Izham Hashim berkata, pihak kerajaan negeri turut bersetuju membuat pembayaran ex-gratia (Sagu hati) keseluruhan bernilai RM392,000 kepada pemilik terlibat yang diserahkan pada 5 dan 9 Jun di Pejabat Daerah dan Tanah Petaling.
![]() |
Ir. Izham Hashim |
"Kita telah bersetuju beri ex-gratia kepada pemilik stuktur, ini (pemberian ex-gratia) tidak pernah dibuat.
"Pihak berkuasa negeri pada 10 Disember 2019 telah menawarkan pembelian rumah Selangorku kepada semua 27 pemilik struktur kediaman. Pemilik yang layak juga diberi bantuan oleh Lembaga Zakat Selangor," jelasnya.
Sebelum ini ada pihak tertentu cuba menggambarkan kerajaan negeri dipimpin KEADILAN bertindak kejam tanpa timbang rasa kepada penduduk yang membina kediaman di atas tanah rizab berkenaan.
Manakala sebahagian warganet beranggapan tindakan itu wajar bagi memberi laluan untuk projek berkepentingan umum dan tindakan membina kediaman atas tanah rizab tanpa kebenaran sebagai sesuatu yang tidak sepatutnya dibiarkan. - Kartelmedia
0 Comments