Pemimpin di S'gor yakin Anwar mampu tubuh k'jaan



USAHA Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim cuba membentuk kerajaan baru dan mendapatkan semula mandat rakyat bukan rahsia di kalangan sesetengan pemimpin politik di Selangor.

Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Ng Suee Lim, berkata, usaha tersebut diketahuinya sejak sebulan lalu dan Anwar jelasnya telah berusaha sehabis mungkin untuk meraih sokongan.

“Cakap-cakap (Anwar tubuh kerajaan baru) telah didengari sejak bulan lalu dan saya tahu Anwar telah berusaha sehabis mungkin untuk mendapatkan sokongan bagi membentuk kerajaan seterusnya,” kata Ng dipetik laporan The Star.

Ng turut menegaskan bahawa sidang media Anwar baru-baru ini bahawa beliau telah mendapat jumlah sokongan mencukupi bukan gimik.

Sebaliknya pendedahan Anwar mempunyai asas dan bukti kukuh terutama selepas Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, turut menyokong tindakan anggota parlimen Port Dickson itu.

Yakin Anwar mampu tubuh kerajaan
Malah presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, yang mengesahkan "ramai" ahli parlimen partinya kini bersama-sama Anwar dan beliau tidak dapat menghalangnya.

“Sekarang, apa yang kita perlu buat adalah perhati dan bersedia untuk melihat mandat dikembalikan kepada rakyat,” katanya.
 
Sementara itu, Adun Tanjong Sepat Borhan Aman Shah dipetik laporan Malaysiakini berkata, sekarang adalah masa untuk menunggu Anwar mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong menghadap bagi menyatakan jumlah sokongan yang diperoleh sekaligus mengambil alih semula kerajaan yang dipilih rakyat.

Anwar sepatutnya dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Selasa, namun majlis tersebut terpaksa dibatalkan susulan kegeringan Seri Paduka yang kemudiannya dirawat di Institut Jantung Negara.

Seorang pegawai Istana yang dipetik Rauters memberitahu Seri Paduka tidak akan menerima menghadap  selama seminggu kerana sedang menjalani pemerhatian di sebuah hospital.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kapar, Abdullah Sani Abdul Hamid menyuarakan rasa yakin Anwar dapat membentuk kerajaan persekutuan tidak lama lagi dengan mendapat sokongan kukuh daripada wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) yang juga inginkan perubahahan.