AMK lapor Shamrahayu pada polis


ANGKATAN MUDA KEADILAN (AMK) memfailkan satu laporan polis berhubung kenyataan Profesor Dr Shamrahayu Ab Aziz yang berkata hanya perdana menteri yang layak menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Naib Ketua Pemuda sayap parti KEADILAN itu, S Thiban berkata, laporan itu dibuat kerana mereka beranggapan kenyataan Dr Shamrahayu itu telah mengelirukan rakyat dan memperkecil peranan Yang di-Pertuan Agong.

"Saya mendapati kenyataan profesor itu bahawa hanya PM layak menghadap Agong itu jelas memperlekeh dan memperkecilkan peranan Yang di-Pertuan Agong yang sebelum ini menerima majlis untuk menghadap Anwar Ibrahim.

"Ketika krisis politik pada Februari, kesemua ketua parti politik menghadap Seri Paduka Baginda sebelum Dr Mahathir Mohamad yang merupakan perdana menteri ketika itu meletak jawatan. Ketika itu profesor ini tidak pun kata ia salah. Tapi, bila Presiden KEADILAN hendak buat perkara sama, cakap langgar perlembagaan.

"Kenyataan dia jelas satu tindakan politik dan sengaja mengelirukan rakyat juga menghina sistem raja berperlembagaan serta kedaulatan negara.

"Maka, kami AMK meminta pihak polis untuk membuat satu siasatan terhadap profesor tersebut," katanya dipetik.

Shamrahayu melalui laporan media semalam berkata, hanya perdana menteri layak menghadap Agong bagi menyatakan kedudukan semasa sama ada masih mempunyai kepercayaan majoriti atau sebaliknya.

Beliau merujuk laporan yang mendakwa Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen dan bakal mempersembahkan senarai nama Ahli Parlimen berkenaan kepada Agong.

Kenyataan Shamrahayu turut dibidas Aziz Bari
Sementara itu, Seorang pakar perlembagaan yang kini menjadi Ketua Pembangkang di DUN Perak, Dr Aziz Bari kemudian tampil menyifatkan Shamrahayu  sebagai keliru apabila menyatakan pandangan itu.

Bekas pensyarah undang-undang itu berkata, Shamrahayu gagal memahami peranan Yang di-Pertuan Agong khususnya sebagai "penjaga perlembagaan" yang memerlukan baginda mendapat maklumat dan perspektif yang betul mengenai keadaan semasa.

Dari segi itu pun, katanya lagi, ia tidak bermakna Agong tidak boleh mendengar pandangan pihak lain.

"Jika tidak masakan ada apa yang disebut 'the right to advise, to warn and to be consulted' di pihak raja. Ini semua memerlukan seseorang raja itu mendengar dan mendapat perspektif yang pelbagai dan bukan hanya dari perdana menteri saja," katanya lagi.



 

Post a Comment

0 Comments