Kerajaan baru bukan kerajaan 'back door' - Anwar


KERAJAAN baharu yang bakal ditubuhkan dengan diketuai Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan kerajaan ‘back door’ ataupun kerajaan pintu belakang.

Berbanding Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Muhyiddin Yassin, Anwar menjelaskan bahawa kerajaan baharu pimpinannya merupakan kerajaan yang dibentuk berdasarkan mandat diberikan rakyat melalui Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

“Ini bukan kerajaan ‘back door’.

"Ini merupakan kerajaan yang mempunyai mandat dan mendapat sokongan dengan prinsip dan dasar yang jelas.

“Mereka yang memutuskan untuk menyertai (kerajaan baharu) ini harus menerima kerajaan yang menghormati integriti, pemerintahan yang baik, anti-rasuah dan rule of law,” katanya pada sidang media tergempar semalam.

Tambah Anwar, kerajaan baharu yang akan terbentuk itu juga merupakan sebuah kerajaan kukuh yang mampu menstabilkan kembali situasi politik Malaysia apabila ia setakat ini telah mendapat majoriti yang kukuh  menghampiri dua pertiga undi.

Sebagai rekod, kerajaan PN yang dipimpin Muhyiddin hanya menikmati kelebihan 2 undi yang sekaligus menjadikan kerajaan tersebut dilihat lemah.

Malah kenyataan Presiden Umno semalam yang mengakui ramai Ahli Parlimen Umno dan BN memberi sokongan agar Anwar menjadi perdana menteri membayangkan Muhyiddin telah hilang sokongan sebagai perdana menteri.

Sementara itu, Anwar mendedah, sejak kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) ditumbangkan melalui 'Langkah Sheraton' pihaknya sudah membuat persiapan selama berbulan-bulan dan akhirnya memperolehi majoriti kerusi Parlimen untuk mengambil semula mandat tersebut.

Anwar tegaskan kerajaan baru lebih kukuh
“Ini bukan semalaman. Kami sudah membuat perancangan ini selama berbulan-bulan.

“Sekarang kami telah memperoleh majoriti, kami membuat pengumuman,” katanya.

Anwar dijadualkan mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 11 pagi Selasa, namun ditangguhkan susulan baginda sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Menurut Anwar, beliau akan bertemu Al-Sultan dalam masa terdekat.

Sementara itu ketika menyentuh tentang kerajaan baharu yang akan ditubuhkan, Anwar berkata ia akan terdiri daripada majoriti ahli Parlimen berbangsa Melayu dan bumiputera tanpa mengetepi semua kaum lain.