Laporan itu yang disiar FMT memetik kenyataan dari seorang pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) yang tidak didedahkan.
Menurut sumber itu, peralihan sokongan berlaku susulan rasa tidak senang pemimpin Umno terhadap corak kerjasama antara parti Bersatu diterajui Muhyiddin dan Umno yang dilihat kebelakangan ini semakin tidak sehaluan.
Mereka juga berharap langkah mengalih sokongan itu bakal membuka jalan kepada pilihan raya baru yang akan dimanfaatkan oleh parti itu.
“Ahli Parlimen Umno menyokong Anwar dengan harapan ia akan membuka jalan kepada pilihan raya baru secepat mungkin.
“Ini adalah ahli Parlimen yang tidak mahu PPBM mengetuai gabungan kerajaan,” kata sebahagian sumber itu.
Tambah individu sama, selain pemimpin Umno, beberapa Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak juga sedang menunggu Anwar diterima menghadap Yang di-Pertuan Agong sebelum memutuskan langkah berikutnya.
Anwar dalam sidang media semalam tidak mendedahkan jumlah sebenar sokongan diperolehinya atau butiran mengenainya. Ahli Parlimen Port Dickson itu cuma memberitahu, sokongan baru itu diperoleh dari sebahagian besarnya pemimpin Melayu -Islam.
![]() |
Istana sahkan ada rancangan mengadap |
BACA: Kenyataan Zahid beri gambaran Muhyiddin hilang majoriti
BACA: Agong ada hak tolak nasihat bubar Parlimen - Peguam
Sementara itu, penganalisis politik dari Institut Asia Universiti Tasmania, James Chin dipetik laporan serupa berkata, dengan andaian majoriti ahli Parlimen menyokong Pengerusi HARAPAN itu , maka HARAPAN dan Umno akan menjadi pemenang terbesar sekiranya kerajaan Perikatan Nasional (PN) tumbang.
“Kebanyakan orang mengetepikan beliau selepas beberapa percubaannya untuk menjadi perdana menteri.
"Sekarang, jika beliau ada sokongan, maka Anwar akan kembali,” katanya.
Seorang lagi penganalisis, Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya melihat tempoh beberapa minggu ini penting sewaktu negara menunggu pengumuman baru Anwar selepas beliau menghadap Agong.
Awang Azman berharap walau apapun gabungan baru yang terbentuk ia tidak akan menatijahkan pilihan raya kilat kerana negara masih terdedah kepada bahaya wabak Covid-19.
0 Comments