Kenyataan Zahid beri gambaran Muhyiddin hilang majoriti


KENYATAAN Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi semalam yang secara terbuka mengakui ramai Ahli Parlimen Umno dan BN telah memberi sokongan kepada Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara tidak langsung mengesahkan Perikatan Nasional (PN) telah tumbang.

Ketua Sekretariat Pakatan Harapan, Saifuddin Nasution berkata, melalui kenyataan itu dapat difahamkan bahawa Muhyiddin Yassin yang  hanya mempunyai kelebihan tiga kerusi dalam Dewan Rakyat telah hilang sokongan majoriti.

“Apabila Zahid sebut ramai ahli parlimen Umno dan BN sokong Anwar Ibrahim, impaknya adalah Muhyiddin sudah hilang majoriti.

"Ayat dia sangat spesifik. Dia mengesahkan ramai ahli parlimen UMNO dan BN sokong Anwar.

"Dia juga tidak halang mereka berbuat demikian," kata Saifuddin dipetik laporan Malaysiakini.

Dalam satu sidang media mengejut di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur hari ini, Anwar yang merupakan Ahli Parlimen Port Dickson mengumumkan telah mempunyai majoriti kukuh sokongan daripada Ahli Parlimen untuk mengambil kembali mandat diberikan rakyat pada Pilihan raya Umum (PRU) lalu.

Kenyataan Zahid bukti PN hilang kuasa
Kemudian muncul kenyataan dari Zahid Hamidi bahawa Umno tidak dapat halang sekiranya ahli parlimennya bertindak menyokong Anwar.

Zahid turut mendedahkan beliau mengetahui perkara itu dan mengakui ramai  ahli-ahli parlimen Umno dan BN yang telah menyatakan sokongan kepada Anwar.
 
Dalam sidang medianya, Anwar bagaimanapun tidak mendedahkan angka sebenar dan menegaskan butiran jumlah sokongan diperolehinya.

Jumlah itu akan didedahkan selepas mengadap Yang di-Pertuan Agong.

Post a Comment

0 Comments