Hilang majoriti, Muhyiddin digesa letak jawatan


MUHYIDDIN YASSIN digesa mencontohi langkah diambil Dr Mahathir Mohamad melepaskan jawatan perdana menteri selepas tidak lagi mendapat sokongan majoriti anggota parlimen.

Seorang pemimping Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Syed Badli Shah Syed Osman berkata, kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang mengesahkan ramai Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) kini telah memberikan sokongan kepada Anwar Ibrahim membuktikan Muhyiddin sudah hilang sokongan majoriti.

"Muhyiddin perlu melepaskan jawatan perdana menteri secara terhormat setelah terbukti dia hilang sokongan majoriti.

"Dia perlu mencontohi mantan perdana menteri yang meletakkan jawatan bagi membolehkan pihak istana melakukan proses berikutnya," katanya.

Sebagai rekod, Dr Mahathir bertindak melepaskan jawatan sebaik saja menyedari dia tidak lagi mendapat kepercayaan dalam kalangan anggota parlimen pada akhir Feb lalu selepas Muhyiddin membawa Bersatu meninggalkan Pakatan Harapan (HARAPAN) dan sejumlah ahli parlimen PKR pula berpaling tadah untuk menyokongnya.

Kelmarin Anwar yang juga presiden KEADILAN mengumumkan dia kini memperoleh jumlah yang kukuh untuk membentuk kerajaan selepas sejumlah ahli parlimen memberikan sokongan kepadanya.

Ahmad Zahid kemudian melalui satu laporan media mengakui dakwaan Anwar dengan berkata beliau sedar ramai pemimpin BN telah memberi sokongan kepada Anwar dan tidak dapat menghalang mereka berbuat demikian.

Difahamkan, sekurang-kurangnya terdapat 15 Ahli Parlimen yang telah menarik semula sokongan mereka kepada Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Kerajaan PN sudah tidak boleh berfungsi
"Kenyataan Ahmad Zahid itu menunjukkan Muhyiddin kini tidak lagi layak bergelar perdana menteri," tambah Syed Badli.

"Justeru Muhyiddin perlu meletakkan jawatan perdana menteri dengan cara yang terhormat bagi memudahkan proses transisi kerajaan," katanya sambil menegaskan bahawa Perikatan Nasional (PN) tidak lagi boleh berfungsi sebagai sebuah kerajaan.

Post a Comment

0 Comments