PRESIDEN Warisan, Shafie Apdal mengkritik gabungan PN-BN dan sekutu mereka yang masih berbelah bagi mengenai siapa yang bakal dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah sekiranya mereka kembali berkuasa.
Jelasnya, berbanding gabungan itu, Warisan Plus berada dalam keadaan lebih baik kerana sepakat dalam isu kerusi dan juga isu calon Ketua Menteri.
“Baik DAP kah, KEADILAN kah, Amanah kah (yang menjadi calon kawasan), hanya satu calon saja untuk menjadi ketua menteri iaitu presiden Warisan,” katanya dipetik Malaysiakini selepas penamaan calon di Semporna hari ini.
Shafie berkata begitu sebagai mengulas pertikaian siapa calon Ketua Menteri setelah Presiden Bersatu, menamakan orang kepercayaanya, Hajiji Noor sebagai calon yang akhirnya dikritik barisan Nasional (BN).
“Nampaknya, mereka tak jelas kan? Itu sangat ketara.
“Itu menunjukkan betapa berpecahnya pilihan yang mereka berikan kepada rakyat Sabah.”
Sebagai rekod, Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa BN akan memutuskan calon Ketua Menteri Sabah apabila cukup bilangan kerusi bagi pembentukan kerajaan negeri yang baharu.
Kenyataan itu tampil setelah Muhyiddin terlebih awal membayangkan bahawa Hajiji adalah individu yang layak dicalonkan ke jawatan tersebut.
"BN memutuskan bahawa Ketua Menteri Sabah hanya akan dipilih oleh ADUN BN dan rakan kongsi politik mereka," katanya menerusi kiriman di Twitter, hari ini.
Sementara dalam laporan Umno Online, Zahid berkata keputusan menyerahkan kepada ADUN BN Sabah untuk membuat keputusan berhubung Ketua Menteri adalah kuasa autonomi BN Sabah.
"Calon yang dipilih dalam PRN ini adalah pilihan sepenuhnya seratus peratus oleh Pengerusi BN dan Ketua Umno Sabah iaitu Bung Moktar Radin.
"Begitu juga untuk calon Ketua Menteri, kita akan berikan kuasa penuh kepada BN/Umno Sabah untuk tentukan Ketua Menteri, ia akan dipilih sepenuhnya oleh ADUN dan rakan kongsi politik.
"Biarpun ada orang lain menyebut seseorang tokoh akan diberi jawatan Ketua Menteri tapi pendirian kita ialah Ketua Menteri hanya dipilih oleh BN Sabah dan ia akan dipilih apabila cukup kerusi untuk bentuk kerajaan negeri," katanya.
0 Comments