Anwar dapatkan semula mandat, umum PN telah tumbang


PENGERUSI Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) diketuai Muhyiddin Yassin tumbang.

Dalam satu sidang media mengejut di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur hari ini, Ahli Parlimen Port Dickson itu mengumumkan telah mempunyai majoriti sokongan ahli parlimen untuk mengambil kembali mandat diberikan rakyat pada Pilihan raya Umum (PRU) lalu.

Ketika ditanya wartawan, Anwar mendedahkan bahawa beliau mendapat sokongan Ahli Parlimen dari semua parti termasuk Parti Pejuang Tanah Air dan jumlah majoriti yang diperolehi adalah konklusif dan bukannya majoriti tipis.

“Bukan, empat, lima atau enam (kerusi) tetapi majoriti,” katanya.

Anwar bagaimanapun tidak mendedahkan angka sebenar dan menegaskan butiran akan hanya diberikan selepas dia mengadap Yang di-Pertuan Agong yang sekarang berada di Institut Jantung Negara.

“Kerajaan pimpinan (perdana menteri) Muhyiddin Yassin telah jatuh. Maklumat selanjutnya akan saya maklumkan lepas mengadap baginda Agong dalam masa terdekat insya-Allah.

“Pentadbiran ini pasti wakili semua rakyat. Majoriti Melayu bumputera dan perwakilan dari semua kaum di negara kita," katanya.

Anwar juga memberi jaminan bahawa ada dokumen tetap yang tidak boleh diragui bagi membuktikan bahawa beliau mempunyai majoriti untuk menubuhkan kerajaan baru.
 
Menurut Anwar, dia dijadual mengadap Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Selasa lalu tetapi Seri Paduka sedang menjalani rawatan.

Namun katanya, perkembagangan politik negara itu telah disampaikan melalui telefon.

Sementara itu, Anwar memberi jaminan bahawa kerajaan barunya akan tetap menjunjung prinsip perlembagaan.

Anwar umum dapat majoriti sokongan
“Kita iktiraf kedudukan Islam, kedaulatan Raja-raja Melayu, memartabtkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan kedudukan istemewa orang Melayu dan bumiputera, di samping jaminan tegas mempertahan hak rakyat pelbagai kaum.

“Akhir sekali, saya mohon semua rakayt bersabar dan mendoakan kesembuhan Agong,” katanya dalam sidang media ringkas itu.

Semalam Al-Sultan Abdullah dimasukkan ke Wad Diraja IJN. Namun menurut Istana Negara, baginda tidak dalam keadaan yang membimbangkan.