KEMENTERIAN Kesihatan memaklumkan satu lagi kematian terbaru, menjadikan dua kes kematian dalam bulan ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata kematian terbaru itu melibatkan seorang warga emas berusia 62 tahun (Kes ke- 9124) daripada kluster Tawar di Kedah.
Difahamkan, mangsa mula mengalami gejala batuk sejak 11 Ogos lalu, dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar pada 13 Ogos setelah didapati positif Covid-19. Pesakit mempunyai sejarah penyakit diabetes dan tekanan darah tinggi.
"Keadaan kesihatan beliau merosot dan memerlukan bantuan pernafasan sejak 19 Ogos 2020. Beliau disahkan meninggal dunia pada 30 Ogos 2020 jam 10.35 malam," kata Dr Noor Hisham dalam satu kenyataan hari ini.
Dengan perkembangan terbaru itu, kematian akibat Covid-19 setakat ini adalah sebanyak 127 kes.
Sehari sebelumnya, kes ke-9290 dilapor meninggal dunia akibat Covid-19 di hospital yang sama.
Sementara itu, Dr Noor Hisham turut melaporkan, enam kes baru Covid-19 dilaporkan dikesan dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengahari tadi, menjadikan jumlah keseluruhan kes dicatatkan ialah 9,340 kes.
Sementara itu, daripada enam kes baru tersebut, dua daripadanya merupakan penularan dalam negara. Kedua-dua kes tersebut dilaporkan di Kedah iaitu daripada kluster Tawar dan kluster Telaga.
Enam kes turut dilapor sembuh dan pesakit terbabit dibenar keluar.menjadikan jumlah kes pulih sebanyak 9,054 kes atau 96.9 peratus dari keseluruhan kes.
159 kes sedang dirawat dengan enam pesakit masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU)
Empat daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.
0 Comments