SEKURANG-KURANGNYA, dua cawangan parti Bersatu di Selangor runtuh apabila pemimpinnya mengumumkan keluar parti itu hari ini.
Terdahulu, Adun Jeram, Mohd Shaid Rosli mengumumkan menjadi Adun bebas hari ini bagi menyokong bekas pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad.
Mohd Shaid melalui satu kenyataan berkata, keputusan itu diambil bersama-sama jawatankuasa bahagian Jeram, ketua-ketua cawangan dan majoriti ahli Bersatu bahagian Kuala Selangor.
Tegas mereka, parti yang ditubuhkan sebelum Pilihan raya Umum (PRU) lalu itu kini telah terpesong daripada objektif asal penubuhannya melawan 'kerajaan kleptokrasi'.
Ia jelasnya dapat dilihat apabila parti itu bekerjasama dengan individu yang ditolak rakyat dalam pilihan raya umum (PRU) lalu.
“Saya selaku Adun yang di pilih oleh rakyat di kawasan Dun Jeram ini bertanggung jawab dengan mandat dan amanah yang di berikan kepada saya.
"Saya ingin terus bersama dengan mereka yang memberikan mandat kepada saya sehingga mereka membuat keputusan pada PRU akan datang.
“Atas sebab-sebab tersebut, saya bersama Jawatankuasa bahagian, ketua-ketua cawangan dan majoriti ahli Bersatu bahagian Kuala Selangor telah mengambil keputusan untuk keluar dari parti Bersatu pada hari ini 8 Ogos 2020," katanya.
Semalam, Dr Mahathir mengumumkan pembentukan sebuah lagi parti politik untuk orang Melayu.
Langkah tersebut setelah Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin membawa Bersatu keluar dari Pakatan Harapan (HARAPAN) pada hujung Feb lalu untuk bekerjasama dengan PAS, Umno-BN, PBS, GPS dan Star bagi membentuk Perikatan Nasional dan mengambil alih kerajaan pusat.
Dalam perkembangan lewat petang ini, Ketua Bersatu Bahagian Klang Syed Abdillah Syed Abdul Aziz turut mengumumkan pembubaran bahagian itu hari ini.
"Dengan itu kami seluruh anggota Bersatu Bahagian Klang yang diketuai oleh saya sendiri Syed Abdillah Aziz secara sebulat suara hilang segala kepercayaan terhadap kepimpinan peringkat penaja Bersatu.
"Kami membuat keputusan untuk membubarkan Bahagian Bersatu Klang dengan serta-merta," kata pada sidang media yang disiarkan secara langsung di Faceebook.
Khabar angin sebelum ini turut menamakan Adun Kuang, Salehuddin Amiruddin, Adun Batang Kali Harumaini Omar sebagai pemimpin parti itu yang akan meninggalkan Bersatu.
Dengan perkembangan terbaharu itu, usaha PN merampas Selangor kini dianggap sebagai misi mustahil.
0 Comments