Anwar harap tiada penganiayaan dalam kes Lim Guan Eng


PENGERUSI Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap, siasatan dan perbicaraan membabitkan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dilakukan adil dan tidak bermotifkan politik penganiayaan.

Bercakap dalam sesi jelajah ke Selangor di Shah Alam malam tadi, Anwar berkata, beliau merasa bimbang sekiranya apa yang dihadapi Lim adalah satu bentuk penindasan.

"Saya tidak mahu prejudis tapi kita berdasarkan apa yang dibentangkan kepada kita hari ini amat merisaukan. Soal lebih besar kita lalui penekanan pendakwaan terpilih.

"Sudahlah mari kita aturkan negara ini dengan cara aman dan damai dan hentikan politik penyeksaan,” katanya.

Anwar turut menyentuh isu rumah banglo milik Lim yang pernah menjadi pertikaian dan modal politik pihak tertentu sebelum ini

Jelasnya, kediaman Setiausaha Agung DAP itu antara yang paling sederhana pernah dimiliki seorang pemimpin politik ternama.  

"Saya lihat rumah semua menteri, semua pemimpin dulu dan sekarang.

"Dan rumah milik Guan Eng itu di antara yang sederhana, lebih rendah kategorinya daripada semua rumah-rumah yang lain," kata Anwar.
Tuduhan tiada asas, Lim dakwa bermotif politik
Semalam, Lim dibawa ke Mahkamah Khas di Kuala Lumpur dan dituduh meminta suapan berjumlah 10 peratus daripada jumlah keuntungan yang bakal diperoleh daripada pengarah kanan eksekutif Consortium Zenith Construction Sdn Bhd Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

Permintaan itu didakwa sebagai ganjaran bagi membantu Zenith Construction untuk melaksanakan Projek berkaitan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion

Lim bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut. Sambil menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak berasas, beliau menegaskan bahawa ia  bermotifkan politik yang semata-mata bagi mencemarkan reputasinya.

BACA:
Tuduhan tiada asas, Lim dakwa bermotif politik 

Sementara itu, Anwar turut mengecam tindakan pihak tertentu yang cuba mengelirukan rakyat dengan mendakwa situasi dihadapi Lim dan bekas perdana menteri, Najib Razak adalah sama.

Tegas Anwar, kedua-dua mereka tidak boleh disamakan kerana Setiausaha Agung DAP itu belum dibuktikan bersalah di mahkamah seperti bekas perdana menteri dalam kes isu penyelewengan dana berkaitan SRC International Sdn Bhd.

"Ada orang samakan kes Guan Eng dengan kes (Najib) yang sudah dihukum berdasarkan fakta, hujah dan undang-undang.

"Berbanding dalam kes Najib, selalu saya katakan kita lihat pada fakta serta undang-undang dan bukannya politik," katanya lagi.

Post a Comment

0 Comments