KEADILAN masih menanti jawapan Tian Chua berhubung arahan dibuat parti itu supaya beliau melepaskan jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Setiausaha agung parti itu, DatuK Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, surat arahan meminta bekas Ahli Parlimen Batu itu supaya melepaskan jawatan sebagai pengerusi Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) telah dihantar 2 minggu lalu.
“Surat itu sudah dihantar oleh saya kepada Tian dan dia belum beri apa-apa jawapan kepada saya. Namun tidak ada had masa diberikan, tetapi kita minta seberapa segera,” katanya sewaktu ditemui pemberita di Parlimen.
Pada 3 Julai lalu portal dalam talian The Malaysian Insight memetik sumber yang mendedahkan surat bertarikh 29 Jun itu yang memberi arahan supaya Naib Presiden itu mengundurkan diri daripada jawatan lantikan politik atau berisiko menghadapi tindakan lebih tegas.
Keputusan tersebut dibuat pada mesyuarat MPP pada 28 Jun dan berdasarkan cadangan daripada lembaga disiplin parti.
Parti itu memulakan siasatan tatatertib terhadap beberapa ahlinya yang diketahui berpihak dalang "Langkah Sheraton" yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan tumbang.
KEADILAN kemudiannya memecat lima pemimpin yang dikaitkan dengan bekas timbalan presiden Mohamed Azmin Ali, termasuk ketua wanitanya, Haniza Talha. Bagaimanapun Tian antara beberapa pemimpin parti itu yang terselamat dan hanya diberi surat tunjuk sebab.
Tian dilantik sebagai pengerusi MPC oleh kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) pada 26 April 2019.
0 Comments