KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) diketuai Muhyiddin Yassin sekali lagi digesa agar segera mengadakan sidang Dewan Rakyat.
Gesaan itu disuarakan Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena sambutan Hari Parlimen Sedunia 2020 semalam.
Tegas Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu, kerajaan yang ada hari ini bukan saja tidak ada keabsahan tetapi berterusan melanggar aspek demokrasi, termasuk terus mengelak untuk mengadakan sidang parlimen.
"Badan legislatif, terutamanya institusi Parlimen adalah institusi terpenting negara. Ia tidak hanya sekadar tempat untuk mewujudkan undang-undang baru yang akan mengesankan segenap populasi negara, tetapi juga berfungsi sebagai badan pengimbang kepada cabang eksekutif.
"Konsep ini diterima pakai di semua negara demokrasi atau semi demokrasi di dunia," katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasminya.
Tambah Anwar, parlimen diperlukan untuk meluluskan undang-undang baru, peruntukan kecemasan, memastikan kebertanggungjawaban dan meneliti setiap tindakan kerajaan agar kebocoran atau kecurangan dapat dielakkan.
beliau turut memetik Laman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyebut bahawa parlimen menjadi lebih penting tatkala perang atau kemelut, apatah lagi di kala pandemik Covid-19 kini.
"Namun, lain halnya di Malaysia di mana kerajaan yang ada pada hari ini, yang tidak hanya tidak ada keabsahan tetapi terus terusan menginjak setiap aspek demokrasi, termasuk terus mengelak untuk mengadakan sidang parlimen atau Dewan Rakyat.
"Amatlah wajar untuk kita terus menggesa kerajaan hari ini untuk mengadakan sidang Parlimen sesegera mungkin dan menjunjung tinggi institusi Parlimen sebagai tiang seri demokrasi dan negara hukum," kata Anwar.
Pada 18 Mei lalu, Kerajaan PN memanggil sidang Dewan, namun hanya bagi urusan Titah Diraja oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Pembangkang tidak bersetuju dengan ketetapan itu dan menggesa agar ia dipanjang dan diadakan secara digital bagi membincangkan isu penting termasuk berkaitan Covid-19.
Tindakan itu dikritik dan dianggap satu percubaan menyekat percubaan untuk undi tidak percaya terhadap Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat.
0 Comments