Lantikan Abdul Razak sebagai AGC dipertikai


KEPUTUSAN
pentadbiran Muhyiddin Yassin yang melantik Abdul Razak Musa sebagai Peguam Cara Negara (SG) baharu bagi menggantikan Datuk Engku Nor Faizah Engku Atek yang bersara minggu depan dikritik.

Keluarga mendiang Teoh Beng Hock menyuarakan bantahan terhadap lantikan itu sambil menyifatkannya hanya akan menjadikan Malaysia satu “jenaka antarabangsa”.

Menyorot penglibatan kontroversi Abdul Razak dalam inkues Beng Hock pada 2011, keluarga itu mempersoalkan sekiranya kerajaan sudah tidak ada orang lain lagi yang layak bagi mengisi jawatan tersebut.

“Perikatan Nasional (PN) dah gila ke? Apakah negara sudah kehabisan peguam sehinggakan peguam dengan wibawa seperti itu pun boleh dilantik ke dalam Jabatan Peguam Negara (AGC)?

“Apakah ada harapan untuk keadilan dan justifikasi buat keluarga mereka yang mati kerana ketidakadilan ini?

"Lantikan itu tanpa ragu lagi menjadikan negara kita satu jenaka di persada antarabangsa,” kata kenyataan keluarga Beng Hock.

Sebagai rekod, Beng Hock ditemui mati terjatuh dari tingkat sembilan bangunan ibu pejabat SPRM Selangor ketika itu, di Shah Alam, pada 16 Julai 2009. Dia ditahan semalaman di ibu pejabat tersebut untuk soal siasat.
https://t.me/kartelmedia
Ketika inkues itu, Abdul Razak yang ketika itu timbalan pendakwa raya didakwa membangkitkan kemungkinan Teoh mencekik lehernya sendiri dan menunjukkan demonstrasi dakwaan berkenaan di Mahkamah Koroner.

Keluarga Beng Hock turut mendakwa Abdul Razak secara terbuka memperlekeh Karpal Singh yang mewakili keluarga Teoh, dengan mengejek kecacatan peguam itu.

Pada 2014, Mahkamah Rayuan  memutuskan bahawa kematian mendiang adalah kematian dalam tahanan, disebabkan terjatuh yang mungkin dipercepat oleh tindakan individu tidak dikenali, termasuk pegawai SPRM.

Ekoran keputusan itu, SPRM bersetuju membayar RM600,000 kepada keluarga Teoh sebagai penyelesaian atas kes saman terhadap kecuaian suruhanjaya berkenaan.

"Sebagai bekas peguam SPRM, Abdul Razak wajar menarik diri untuk menegakkan keadilan,” kata adik perempuan Beng Hock, Teoh Lee Lan.

Hilang kata-kata

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Teoh Beng Hock Trust for Democracy, Ng Geok Chee dipetik alaysiakini berkata bahawa beliau “hilang kata-kata” dan “tidak berdaya” apabila mendapat tahu mengenai pelantikan Abdul Razak.

Beliau menyuarakan rasa bimbang terhadap kes Teoh yang kini dibuka semula.

“Meskipun peguam cara tidak terlibat secara langsung dalam kes jenayah, (tetapi) memandangkan beliau kini dilantik dalam AGC, kami bimbang sekiranya akan sampai ke satu tahap, akan wujud kesan terhadap kes Teoh,” katanya lagi.

“Kerajaan, sudah tentu, ada kuasa melantik sesiapa saja. Bagaimanapun, kami fikir lantikan pegawai atasan harus dibuat dengan penuh cermat. Kemampuan dan kualiti profesional calon perlu diambil kira,” kata Ng.

Malaysiakini dalam laporannya sebelum ini berkata, pelantikan Abdul Razak belum diumumkan secara rasmi tetapi portal itu telah mendapatkan pengesahan daripada Peguam Negara Idrus Harun mengenai perkara berkenaan.