Kembalikan JASA akan bazirkan wang negara


CADANGAN kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk mewujudkan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dalam masa terdekat dibantah.

Bendahari Agung Parti KEADILAN Rakyat (KEADILAN) , Lee Chean Chung berkata cadangan untuk mewujudkan semula unit yang didakwa memainkan peranan menyebarkan propaganda kerajaan itu tidak wajar.

"Jasa telah dibubarkan ketika pemerintahan HARAPAN bersama dengan agensi seperti Majlis Profesor Negara, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (Pemandu).

"Pembubaran atau penamatan agensi-agensi berkenaan membawa penjimatan anggaran sebanyak RM500 juta setiap tahun.

"Namun, tindakan Kerajaan PN sanggup mengembalikan Jasa dalam situasi kritikal ini adalah tidak wajar dan tidak sepatunya berlaku," katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu turut menegaskan, pada 2017 agensi itu memperoleh RM22.9 juta peruntukan dan pada tahun seterusnya memperoleh RM30 juta hanya untuk menyebarkan propaganda kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika itu.

"Bayangkan, Ketua Pengarah pada masa itu memperoleh gaji yang mencecah RM20,592 setiap bulan berbanding dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia yang hanya menerima RM14,907 sebulan.
"Apa yang lagi mengejutkan adalah, sebanyak RM12.8 juta peruntukan kerajaan diberikan kepada JASA sebagai bayaran emolumen kepada 272 kakitangan JASA pada ketika itu," dakwanya.

Tambah Chean Chung, Jasa merupakan sayap propaganda BN yang bertanggungjawab untuk memutar belit isu dan fakta berkenaan dengan kes 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ia telah menjadi platform menggaji tentera siber parti untuk membuat publisiti murahan dan menjadikan tempat untuk UMNO dan BN menempatkan penyokongnya bagi mendapat gaji bulanan.

Justeru, jelasnya PN tidak membazirkan pendapatan negara dalam agenda propaganda yang berunsur politik.

Berbanding berusaha mewujudkan kembali JASA, PN tambahnya harus memberi tumpuan penuh untuk memerangi wabak koronavirus,(Covid-19) dan memulihkan ekonomi negara.

Post a Comment

0 Comments