KETUA Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana berjaya mengawal kadar jangkitan Covid-19 di negara ini.
Semasa berucap dalam Dewan Rakyat, Pengerusi Pakatan Harapan itu turut memuji pendekatan berkesan dilaksana KKM termasuk laporan harian untuk maklumat rakyat negara ini.
Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang bersama dalam usaha menangani wabak tersebut.
"Kita juga nampak tindakan segera malah pengumuman harian beri rakyat lega, beri peringatan penjarakan sosial tapi kena tekankan adakah jumlah ini ‘real’ (benar)?" katanya.
Bagaimanapun, Anwar berkata kemampuan Malaysia menangani penularan wabak itu masih rendah. Ia tegasnya fakta itu harus nyata dan bukan disembunyikan dan kerajaan wajar tampil menjelaskan cara menangani isu tersebut.
“Kalau bandingkan tiga negara yang mempunyai jumlah penduduk lebih kurang sama, Malaysia, Australia dan Kanada. Keupayaan kita terlalu rendah (iaitu) hanya 0.18 peratus dari 1,000 orang. Australia 1.98 peratus manakala Kanada 1.03 peratus,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Sementara itu, Anwar turut menggesa KKM meneliti semula kaedah saringan serta alatan yang digunakan agar keputusan lebih tepat dan berkesan.
“Saya tidak pakar tapi dari maklumat diterima, kajian kaedah ujian kita gunakan ada pertikaian berbanding digunakan di Sarawak jauh lebih berkesan,” kata beliau lagi.
Beliau mendakwa ada kes negatif ketika saringan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur berdasarkan ujian tindak balas berantai polimerase transkripsi berbalik masa nyata (rRT-PCR) tetapi positif apabila pemeriksaan semula dibuat ketika mendarat Kuching, Sarawak.
0 Comments