USUL dikemuka kerajaan bagi menukar Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof dan timbalannya, Nga Kor Ming terus menerima bantahan.
Terbaru, sekumpulan tujuh Ahli Parlimen mengeluarkan kenyataam bersama menolak usul dikemuka Muhyiddin Yassin itu.
Menurut mereka, sepanjang tempoh 2 tahun lalu, Mohamad Ariff dan Nga telah memberi khidmat memuaskan dan tiada sebab mengapa mereka perlu digantikan dengan individu lain.
"Sejak pelantikan YB Tan Sri Yang di-Pertua sebagai Speaker Parlimen, pelbagai reformasi dan penambahbaikan Parlimen telah dilancarkan secara konsisten demi memulihkan martabat institusi Parlimen.
"Langkah-langkah pembaharuan telah diperkenalkan untuk mempertingkatkan mutu dan memastikan ketelusan prosiding Parlimen.
"Kedua-dua mereka telah berkhidmat dengan penuh sikap profesional sebagai pengelola dan timbang tara Dewan yang mulia, dan tidak ada asas yang kukuh untuk menyingkirkan kedua-duanya," kata kenyataan kumpulan tersebut.
Kumpulan itu terdiri daripada Fahmi Fadzil (PKR- Lembah Pantai), Hasanuddin Mohd Yunus (Amanah-Hulu Langat), Alice Lau Kiong Yieng (DAP- Lanang), Maszlee Malik (Simpang Renggam), Liew Vui Keong (Warisan-Batu Sapi) , Wilfred Madius Tangau (Upko-Tuaran) dan Baru Bian (PSB-Selangau).
Mereka turut mengingatkan bahawa Parlimen merupakan institusi penting sebagai wadah demokrasi dan membawa suara rakyat dan ia tidak harus dijadikan medan percaturan politik secara sewenang-wenangnya tanpa sebab munasabah.
0 Comments