160 pelombong Jed maut tertimbus


LEBIH 160 pelombong batu jed di utara Myanmar maut selepas kawasan perlombongan mereka runtuh

Memetik laporan AFP, sekuran-kurangnya 166 mayat pekerja di lombong itu telah ditemui dan dibawa keluar setakat laporan itu ditulis.

Jabatan Perkhidmatan Bomba Myanmar melalui kenyataannya di Facebook memaklumkan, kemalangan berlaku selepas hujan lebat di lokasi yang berhampiran dengan sempadan China di negeri Kachin.

Susulan tragedi itu, pasukan penyelamat berhempas pulas sejak kerlmarin untuk membawa keluar mayat daripada lautan lumpur dengan menarik mereka ke permukaan menggunakan tayar sebagai 'rakit'.

Kejadian itu kini disifatkan sebagai terburuk pernah melanda industri berbahaya di negara itu.

"Mayat pelombong ditemui dalam keadaan berlumuran dengan lumpur... sehingga kini sebanyak 166 mayat ditemui," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, pasukan polis berkata, angka kematian mungkin boleh melonjak lebih tinggi sekiranya pihak berkuasa tidak memberikan amaran kepada pekerja supaya menjauhi lokasi lombong sehari sebelum kejadian.

"Ia boleh menjadi lebih daripada angka korban ini, namun amaran kita mungkin berjaya menyelamatkan beberapa orang daripadanya," Superintendan Than Win Aung memberitahu AFP.

Myanmar ialah salah satu sumber utama jed dengan industri ini mendapat permintaan yang tidak pernah putus daripada China.

Difahamkan, masyarakat daripada etnik miskin di kawasan terbabit menjadikan kawasan itu sebagai lubuk mencari rezeki dengan menggali sisa batu yang ditinggalkan oleh syarikat gergasi dalam industri berkenaan.

Perusahaan industri jed turut dilapor menggunakan pekerja migran dengan gaji rendah bagi mendapatkan batu itu yang mempunyai permintaan tinggi di China.

Post a Comment

0 Comments