Warisan mahu tinggal HARAPAN adalah fitnah bohong


PARTI Warisan Sabah (Warisan) menggesa penyokongnya bertenang dan tidak mempercayai khabar angin kononnya parti itu meninggalkan rakan sekutunya, Pakatan Harapan (PHARAPAN).

Setiausaha agungnya Loretto Padua berkata, khabar angin tersebut yang tular di laman sosial sejak dua hari lalu dikeluarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang ingin memecah-belahkan kerjasama HARAPAN Plus.

“Untuk rekod, Warisan tidak pernah berada dalam gabungan HARAPAN sejak sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lagi.

“Bagaimanapun, pendirian Warisan konsisten untuk bekerjasama dengan HARAPAN sehingga sekarang digelar HARAPAN Plus,” katanya dalam kenyataan di sini.

Sebelum ini dilihat terdapat cubaan kuat untuk cuba memecahkan gabungan tersebut yang mahu mengambil semula mandat rakyat yang dirampas susulan 'Langkah Sheraton'

Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal mendedahkan terdapat pemimpin yang menghubungi pemimpin parti itu dan mengajak mereka menyokong Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, rancangan besar itu melibatkan janji berkaitan kedudukan dan perolehan wang sekiranya mereka menyertai pesaing politik tersebut.

Dalam satu sidang medianya baru-baru ini, Shafie memberi amaran kepada PN agar tidak mengganggu partinya atau mereka akan melawan.