Siapa bakal PM mungkin diketahui pada Selasa


PERSOALAN
mengenai siapa calon perdana menteri gabungan baru Pakatan Harapan (HARAPAN Plus) dijangka dapat diketahui pada Selasa ini.

Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Fahmi Fadzil berkata begitu ketika ditemui wartawan selepas menghadiri mesyuarat susulan HARAPAN Plus di Ibu Pejabat KEADILAN di Petaling Jaya semalam.

“Insya-Allah (keputusan menjelang Selasa ini).

“Hari ni majlis pimpinan HARAPAN mesyuarat selepas daripada mesyuarat bersama Bersatu yang berpihak kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan Warisan. Ini adalah mesyuarat susulan.

“Selepas ini akan ada satu lagi pertemuan. Di peringkat HARAPAN dan HARAPAN Plus ada pengumuman dalam masa seminggu daripada mesyuarat tempoh hari,” katanya dipetik laporan oleh Malaysiakini.

Selasa lalu, pemimpin HARAPAN diketuai pengerusi gabungan itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan mesyuarat bersama Tun Dr Mahathir Mohammad dan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Antara yang hadir pada mesyuarat semalam   termasuk Timbalan Pengerusi DAP Gobind Singh Deo dan setiausaha penganjur parti itu, Anthony Loke, serta Presiden Amanah Mohamad Sabu bersama timbalannya, Salahuddin Ayub.

Mesyuarat itu difahamkan bagi membincangkan isu penting berhubung calon perdana menteri sekiranya gabungan itu dapat mengambil semula pentadbiran putrajaya sesuai dengan mandat diberikan rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Mereka dijangka akan mengadakan mesyuarat terakhir bersama pasukan yang setia kepada Tun Dr Mahathir dan Warisan sedikit masa lagi.

Difahamkan, HARAPAN dan sekutunya kini mempunyai dua pilihan utama untuk calon perdana menteri mereka.

Media dilaporkan bahawa Dr Mahathir sekali lagi menawarkan diri sebagai perdana menteri untuk kali ketiga hanya untuk tempoh beberapa bulan dengan Anwar dilantik sebagai timbalannya.

Dr Mahathir juga dilapor mahu kembali menjadi perdana menteri supaya boleh menunaikan janji sebelum ini untuk melantik Anwar sebagai penggantinya. 

Bagaimanapun, difahamkan Anwar menolak saranan supaya Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri sekali lagi.

Sebelum ini Anwar berkata beliau yakin dirinya akan dicalonkan gabungan itu sebagai Perdana Menteri, namun beliau mahu mengambil langkah “berhati-hati” dalam hal berkenaan.

Post a Comment

0 Comments