Shafie perlu hati-hati terima tawaran jadi calon PM


SEORANG penganalisis politik menyarankan agar Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berhati-hati ketika menerima tawaran sebagai calon Perdana Menteri dikemuka Dr Mahathir Mohammad.

Pensyarah Sains Politik dan Dasar Awam UiTM Sabah, Mohd Rahezzal Shah Abdul Karim yang dipetik satu laporan oleh Awani berkata, Mohd Shafie bukan  sahaja perlu meneliti pencalonannya tersebut tetapi perlu menyedari objektif percaturan politik semasa secara tuntas.

Ia bagi mengelakkan beliau terperangkap dengan kemelut politik sedia ada.

"Patut diberi perhatian khusus oleh Datuk Mohd Shafie adalah janji beliau (Dr Mahathir) bahawa Bersatu tidak akan masuk ke Sabah. Pada waktu itu ada dalam kalangan pemimpin Warisan marah dengan keputusan Dr Mahathir itu kerana tidak menunaikan janji.

"Jadi seperti yang kita dapat lihat di sini terdapat unsur-unsur Dr Mahathir tidak menunaikan janji," katanya dipetik.

Selepas percubaan Dr Mahathir untuk dirinya dilantik sebagai Perdana Menteri untuk kali ketiga ditolak Datuk Seri Anwar dan partinya, Mahathir membuat kejutan dengan mengumumkan untuk melobi Ketua Menteri Sabah itu sebagai calon  mewakili Pakatan Harapan Plus.

Tindakan Mahathir itu bertentangan dengan kenyataannya yang berkata, beliau akan mencari jalan lain untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

Dalam respon segera mengenai cadangan Mahathir itu, Mohd Shafie berkata beliau memerlukan masa untuk mempertimbangkan cadangan tersebut.

Beliau turut berkata tidak tahu jika dirinya mampu mendapat sokongan semua ahli Parlimen.

Sementara itu, mengulas lanjut,  Mohd Rahezzal turut mengingatkan pemimpin di Sabah supaya melihat objektif dan sejauh mana kepercayaan terhadap janji Dr Mahathir untuk mengelak insiden di luar jangka berulang.

"Saya pun sekiranya Datuk Shafie dilantik sebagai Perdana Menteri, sebagai orang Sabah tentunya saya bangga, tetapi saya ingin berpesan bahawa sejak tahun 2018 ini terlalu banyak percaturan politik yang berlaku di belakang dan beliau perlu melihat benda ni dengan teliti," katanya.

Post a Comment

0 Comments