TINDAKAN ahli keluarga melarikan mayat korban koronavirus (Covid-19) dari hospital menyebabkan pihak berkuasa di negara jiran, Indonesia mengetatkan kawalan di rumah mayat di negara itu.
Difahamkan, langkah itu terpaksa dilaksana selepas terdapat kes mayat yang sudah sedia dikebumikan mengikut protokol virus dirampas keluarga yang mahu mengadakan upacara pengebumian mengikut tuntutan agama mereka.
"Sekurang-kurangnya 33 individu ditahan dan mereka berdepan tujuh tahun penjara kerana melanggar peraturan kuarantin kesihatan.
"Bagi mengatasi masalah sama berulang, pihak berkuasa Makassar meletakkan lebih banyak kakitangan untuk mengawal hospital tempatan," kata seorang jurucakap polis tempatan, Ibrahim Tompo dipetik laporan AFP.
Menurutnya, lebih memburukkan keadaan apabila tersebar khabar angin mendakwa beberapa mayat dijadualkan dikebumi segera walaupun meninggal dunia kerana penyakit yang tiada kaitan dengan Covid-19.
"Ini menyebabkan keluarga dan penduduk tempatan marah. Jadi, mereka memutuskan untuk mengambil mayat secara paksa untuk dibawa ke rumah," tambahnya.
Di Surabaya pula, empat empat individu ditahan pihak berkuasa selepas merampas mayat yang disyaki mangsa virus dari hospital tempatan.
Untuk rekod, susulan penularan Covid-19, pihak berkuasa Indonesia menetapkan, mangsa Covid-19 mesti dibalut dengan plastik dan dikebumikan segera bagi mengelakkan penularan virus.
Bagaimanapun, saudara-mara mangsa terutama yang beragama Islam kurang menyenangi keputusan itu kerana beranggapan ia tidak mengikut tuntutan agama.
Kerajaan juga menetapkan, keluarga di negara majoriti penduduk Islam itu juga tidak dibenarkan berkumpul atau berada lama di tanah perkuburan ketika mayat mangsa dikebumikan.
0 Comments