Anwar sambut baik saranan siasat kerugian forex


SARANAN bekas presiden Umno, Najib Razak supaya kerugian urus niaga tukaran mata wang asing (forex) melibatkan Bank Negara Malaysia (BNM) pada awal tahun 90-an disiasat semula disambut baik Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN).

Melalui siaran langsung di Facebooknya malam tadi, Datuk Seri Anwar berkata beliau menyambut baik saranan bekas Perdana Menteri yang sedang berdepan perbicaraan membabitkan penyelewengan dana Syarikat kontroversi milik kerajaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu.

“(Najib kata) siasat soal skandal Forex. Saya setuju.

"Saya tidak ada masalah dan halangan. Boleh siasat, yang penting tak curi satu sen. Saya tak ambil RM1 bilion, tak ambil tanah balak dan saya tak ambil saham.

"Oleh itu, jika (pihak berkuasa) ingin menyiasat forex atau 1MDB, teruskan," kata Anwar.

Ahli Parlimen Port Dickson itu turut menegaskan bahawa pada 1997 - ketika menjadi menteri kewangan - hutang negara hanya pada tahap RM89 bilion berbanding RM90 bilion setahun sebelumnya.

Beliau turut membangkitkan soal hutang ditanggung negara pada tahun 2011 iaitu ketika era pemerintahan Najib yang menurutnya berjumlah RM456 bilion.

Najib sebelum ini membidas pihak yang tidak senang dengan keputusan pengguguran kes membabitkan anak tirinya Riza Aziz dan bekas Ketua Menteri Sabah, Musa Aman.

Susulan itu Najib menggesa beberapa kes yang dakwanya 'digugurkan' agar diteruskan oleh Jabatan Peguam Negara sekarang.

Najib berkata, antaranya ialah “skandal forex” merujuk kepada kerugian tukaran wang asing berjumlah RM31.5 bilion membabitkan Bank Negara Malaysia (BNM) dari 1991 hingga 1994 semasa negara diketuai Dr Mahathir Mohamad yang sehingga kini tidak menyaksikan mana-mana individu didakwa atau didapati bertanggungjawab ke atas kehilangan dana yang begitu besar.

Selain itu katanya, siasatan juga harus dibuat ke atas pihak yang bertanggungjawab atas usaha menyorok skandal ini daripada Parlimen dan pengetahuan awam selama bertahun-tahun.

Tahun lalu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong berkata bahawa laporan polis berdasarkan penemuan Suruhanjaya Siasatan Diraja yang ditubuhkan pada 1017 mengenai perkara itu telah diklasifikasikan sebagai "tidak ada tindakan lanjut".

Hal itu katanya berlaku disebabkan kurangnya bukti dokumen mengenai dakwaan salah laku, dan juga bahawa pengadu yang asal - iaitu setiausaha RCI Yusof Ismail - menarik balik laporan polis mengenai isu kerugian itu yang dibuatnya pada 30 Nov 2017.

Post a Comment

0 Comments