Afif dan Zulkifli dipuncak pengkhianatan, dakwa Bakhtiar


TINDAKAN
dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) yang secara terbuka menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional dianggap sebagai kemuncak kepada pengkhianatan mandat rakyat.

Pemangku Pengerusi KEADILAN Pulau Pinang, Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata begitu sebagai mengulas tindakan  ADUN Seberang Jaya, Afif Bahardin dan ADUN Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim yang bertemu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin.

"Kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini diruntuhkan di kala rakyat mengharungi ketidaktentuan ekonomi akibat pandemik koronavirus (Covid-19), kini dua ADUN ini sedang menikmati jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah kerajaan PN.

"Perbuatan mereka terang- terangan membelakangkan perjuangan parti dan mandat rakyat," kata Bakhtiar dalam satu kenyataan.

Sebelum ini tular gambar pertemuan lima ADUN Pulau Pinang bersama Muhyiddin.

Selain Afif dan Zulkifli, dua dari mereka adalah ADUN Bersatu, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifli Md Lazim (Teluk Bahang) serta  ADUN Pas, Mohd Yusni Mat Piah (Penaga).

Afif sebelum ini dianggap 'orang kuat' kepada Mohammed Azmin Ali. semalam bekas Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) itu mengumumkan keluar parti untuk menyertai Bersatu.

"Afif yang sebelum ini digantung keahliannya dalam KEADILAN telah dipecat daripada parti itu oleh lembaga disiplin parti dan diakui dalam mesyuarat Biro Politik KEADILAN.

"Afif juga sebelum ini telah digugurkan sebagai Exco Pulau Pinang dan dilucutkan hak sebagai ADUN kerajaan HARAPAN Pulau Pinang bersama dua ADUN Bersatu selepas beliau digantung daripada parti," kata Bakhtiar lagi

Sementara itu, mengulas mengenai ADUN Sungai Acheh, Muhammad Bakhtiar berkata, Lembaga Disiplin KEADILAN telah menerima laporan dan bukti yang menunjukkan beliau jelas bersekongkol dengan mereka yang mengkhianati parti serta mandat rakyat.

Post a Comment

0 Comments